Siakap Keli

Pesara Maut, Tembak Diri Sendiri Selepas Tembak Mati Isteri

Pesara Maut, Tembak Diri Sendiri Selepas Tembak Mati Isteri

KUANTAN, 16 Sept (Bernama) — Seorang pesara Pejabat Perhutanan Jerantut ditemukan maut apabila menembak isterinya sebelum menembak diri sendiri selepas bertengkar berhubung agihan hasil jualan tanah di Kampung Machang Raja Labu, Jerantut, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Mazlan Hassan, berkata isteri pesara berusia 67 tahun itu ditemukan oleh jiran yang mendengar dua das tembakan disusuli jeritan meminta tolong dari bahagian belakang dapur rumah pasangan itu sekitar jam 8 pagi.

“Saksi kejadian menyatakan melihat mangsa terbaring kesakitan dan berdarah di pinggang lalu mengejarkan mangsa ke Hospital Jerantut.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia dan siasatan awal mendapati dia mengalami kecederaan di belakang rusuk kiri.

“Suami mangsa berusia 73 tahun pula ditemukan di rumah dalam keadaan terduduk bersama selaras senapang patah dengan kecederaan di leher sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran selepas isterinya, juga seorang pesara Pejabat Perhutanan Jerantut, tidak memberikan agihan hasil jualan tanah kepada suaminya.

Beliau berkata suami wanita itu mempunyai lesen senjata api dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BACA: Buru Ketenangan & Kestabilan Emosi, Lelaki Kahwini 53 Isteri Dalam Tempoh 43 Tahun

BACA: Miliki 149.5 Juta Pengikut TikTok, Khaby Lame Terima Bayaran Sehingga RM 3.4 Juta Untuk Setiap Video Promosi

Sumber: BERNAMA

Faiz Mustafa