Siakap Keli

Buru Ketenangan & Kestabilan Emosi, Lelaki Kahwini 53 Isteri Dalam Tempoh 43 Tahun

Buru Ketenangan & Kestabilan Emosi, Lelaki Kahwini 53 Isteri Dalam Tempoh 43 Tahun

Seorang lelaki berasal dari Arab Saudi mencuri tumpuan ramai apabila mendakwa telah berkahwin sebanyak 53 kali dalam tempoh 43 tahun, baru-baru ini. Lelaki berkenaan berkata, semua perkahwinan berlaku kerana dia terlalu mendambakan rasa tenang dan kestabilan emosi.

Abu Abdullah, 63, berkata perkahwinan pertamanya berlaku ketika dia berusia 20 tahun manakala perkahwinan tersingkatnya pula hanya bertahan satu malam. Dia mendedahkan perkara tersebut ketika ditemu bual dalam satu rancangan televisyen tempatan.

”Apabila saya berkahwin buat kali pertama, saya tidak merancang untuk mengahwini lebih daripada satu isteri kerana saya berasa selesa dan mempunyai anak.

”Namun, selepas beberapa waktu berlalu, masalah mula timbul dalam rumah tangga kami dan saya memberitahu isteri ingin berkahwin lagi, ketika itu saya berumur 23 tahun” katanya.

Bagaimanapun, Abu Abdullah mendakwa keputusan itu tidak menyelesaikan masalahnya kerana dia masih gagal mencari seorang isteri yang mampu memberikan ketenangan kepadanya. Apabila kedua-dua isterinya mula tidak ‘sekepala’, dia kemudian mengambil keputusan untuk ‘menambah’ isteri ketiga dan keempat. Tidak lama selepas perkahwinan kali ketiga dan keempat itu, Abu Abdullah menceraikan isteri pertama dan keduanya.

Sebagai seorang ahli perniagaan yang berkemampuan, Abu Abdullah memberitahu media bahawa dia memberikan layanan yang adil dan sama rata kepada semua isterinya.

Walaupun kebanyakkan isterinya merupakan wanita warga negara Arab Saudi, dia memberitahu turut pernah memperisterikan wanita warga asing. Apabila perlu ke luar negara dan tinggal lama untuk urusan perniagaan, dia memilih untuk mengahwini warga asing disitu bagi melindungi dirinya daripada ‘tersalah’ pilih jalan.

”Sebenarnya, setiap lelaki hanya mendambakan seorang isteri dan mahu hidup semati dengannya…kestabilan hidup tidak ditemui apabila anda berkahwin dengan wanita muda, tetapi ia ‘ada’ apabila berkahwin dengan mereka yang lebih berusia,” katanya.

Walaupun pernah berkahwin dengan 53 wanita, Abu Abdullah mendedahkan dia kini hanya memiliki seorang isteri dan tidak merancang untuk berkahwin lagi selepas ini.

Sumber: News18

Faiz Mustafa