Kamera Tersembunyi Bongkar Perbuatan Pelajar PhD, Didakwa Letak Agen Bahan Kimia Di Pintu Rumah Jiran
Seorang pelajar PhD didakwa atas pertuduhan meletakkan agen kimia berbahaya di rumah jiran sebanyak beberapa kali di Florida baru-baru ini.
Jenayahnya terbongkar selepas mangsa memasang kamera tersembunyi yang berjaya merakam perbuatan tersebut. Video rakaman kamera tersembunyi itu turut menjadi tular di beberapa platform media sosial, termasuk TikTok sejak beberapa hari lalu.
Menurut afidavit daripada Hillsborough County, suspek ditahan dan didakwa atas beberapa pertuduhan seperti menyebarkan agen kimia, memiliki bahan terkawal dan mengendap.
Difahamkan, suspek merupakan pelajar ijazah Doktor Falsafah di Jabatan Kimia di Universiti Florida Selatan (USF).
Menurut jurucakap USF, pelajar terbabit sedang mengikuti pengajian di universiti tersebut sejak 2018 dan akan berakhir pada hujung musim panas 2023.
Sementara itu, suspek difahamkan mengaku tidak bersalah di atas semua pertuduhan yang dikenakan kepadanya. Manakala peguamnnya juga enggan memberikan sebarang komen berhubung perkara tersebut.
Suspek letak agen kimia berbahaya di rumah jiran kerana bunyi bising
Dalam satu semi temu bual bersama USA TODAY, mangsa yang dikenali sebagai Umar Abdullah menceritakan kronologi bagaima konflik dengan suspek bermula.
Abdullah berkata, dia telah menerima pelbagai aduan berkenaan bunyi bising yang selepas berpindah ke pangsapuri terbabit pada tahun lepas.
Aduan tersebut mula diajukan pada Ogos 2022 iaitu, selepas anak perempauan Abdullah dilahirkan. Namun, aduan bunyi bising yang diterima bukanlah berpunca dari bunyi tangisan bayi.
“Dia mengadu tentang bunyi tapak kaki, bunyi laci dan segala bunyi-bunyian yang biasa didengari di rumah pangsapuri,” kata Abdullah.
Suspek telah pergi berjumpa tuan rumah, memanggil polis dan membuat aduan kepada HOA berkenaan bunyi bising, kata Abdullah.
Pada 31 Mei, seorang rakan Abdullah telah singgah ke rumahnya untuk memeriksa sama ada bungkusan telah sampai ke rumahnya, sewaktu Abdullah tidak berada di rumah.
Sebaik sahaja tiba di rumah, rakan Abdullah menghubunginya dan bertanya sama ada dia baru mengecat rumah atau membeli perabot baharu.
Menurut Abdullah, rakanya mengesan bau yang sangat kuat dan tidak enak sehingga membuatkan matanya berpijar ketika memeriksa rumah tersebut.
Insiden berkenaan menjadi pemulaan di mana keluarga Abdullah terpaksa berdepan dengan bau misteri tersebut untuk beberapa tempoh tertentu.
Abdullah pada mulanya mengesyaki bau itu mungkin berpunca daripada bau kelengkapan elektrik terbakar. Dia menghubungi bomba untuk membuat pemeriksaan termasuk memeriksa kebocoran bahan kimia, namun tidak menemui jawapan.
Malah, mereka turut menukar penghawa dingin, pemanas air dan beberapa kelengkapan lain. Tetapi bau aneh tersebut tetap ada.
Sementara itu, bau berkenaan turut menjejaskan kesihatan mereka termasuk anak perempuannya yang baru dilahirkan. Mata anaknya dilaporkan mula berair dan batuk-batuk sehingga muntah.
Selepas mengalihkan beberapa objek yang dipercayai sebagai punca bau aneh tersebut, Abdullah dan isterinya mula mengesyaki bahawa terdapat individu yang melakukan sesuatu terhadap rumah mereka.
“Saya mula menghidu kawasan pemanas air seperti anjing, dan ketika saya bergerak ke arah pintu masuk dari pintu pemanas air, saya merasakan baunya lebih teruk, bau toksik.
“Sakit kepala yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ia sangat teruk,” katanya.
Pada Jun lalu, Abdullah telah memasang kamera tersembunyi berdekatan pintu rumahnya. Menerusi rakaman daripada kamera tersebut, suspek didapati berada berdekatan rumahnya untuk dua hari berturut-turut.
Pada video pertama, suspek tidak berbuat apa-apa namun pada video kedua, suspek dilihat hadir bersama picagari. Dalam video tersebut, suspek juga dikesan memicitkan cecair daripada picagari tersebut pada pintu rumah Abdullah.
Melihat perkara tersebut, Abdullah segera menghubungi pihak polis.
Ujian awal bahan kimia menunjukkan cecair dalam picagari itu adalah metadon dan hidrokodon. Jurucakap USF, Kevin Watler berkata bahawa makmal kimia di universiti itu tidak mempunyai bahan terkawal terbabit.
Selepas suspek ditahan, Abdullah memaklumkan keluarganya tidak lagi diganggu dengan bau aneh tersebut.
BACA: Ramai Tak Tahu Selain Malaysia, Ini Negara-negara Lain Yang Sambut Hari Merdeka 31 Ogos
Sumber: USA Today