Biodata KPN Baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail
Ketua Polis Negara memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Jawatan ini merupakan pangkat tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menjadi simbol keutuhan pasukan keselamatan negara.
Pelantikan Ketua Polis Negara sentiasa mendapat perhatian rakyat kerana kedudukannya yang berpengaruh, selain membawa bersama hala tuju badan keselamatan negara ini.
Dengan persaraan Ketua Polis Negara Ke-14, Tan Sri Razarudin Husain, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara Ke-15 oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, mengikut kuasa khas (prerogatif) yang diperuntukkan di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Biodata KPN
Datuk Seri Mohd Khalid telah memulakan kerjaya dalam PDRM pada 5 April 1986. Beliau memulakan latihan sebagai Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur.
Sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting dalam pasukan.
Dilahirkan di Manong, Perak pada 8 April 1965 dan usia beliau kini menginjak 60 tahun. Pengalaman yang luas selama tiga dekad bertugas sebagai anggota polis menjadikan beliau tokoh yang layak menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Polis Negara.
Dalam pada itu, beliau berkahwin dengan Datin Seri Hajah Munirah Che Rose dan telah dikurniakan tiga orang anak.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Cawangan Khas Pahang dan sebagai Police Attache di Kedutaan Malaysia di London. Sebelum pelantikan sebagai Ketua Polis Negara, beliau merupakan Pengarah Cawangan Khas di Bukit Aman. Jawatan tersebut disandang dari tahun 2023 hingga 2025.
Menelusuri perjalanan pendidikannya, beliau memperoleh Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 1986 dan seterusnya melanjutkan pengajian dalam bidang Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Tidak hanya bergelar graduan Sarjana Muda Undang-Undang, beliau turut memperoleh segulung ijazah Sarjana dalam Comparative Laws pada tahun 2013, juga di UIAM.
Perjalanan kerjaya beliau bermula di Cawangan Khas Bukit Aman dari 1987 hingga 1999. Kemudian, beliau menyertai Cawangan Khas Gombak pada tahun 2002 hingga 2004.
Setelah itu, beliau menjawat pelbagai jawatan strategik di bawah unit ancaman ekstremis sosial dan perlindungan keselamatan.

Sepanjang perkhidmatannya, pelbagai anugerah dan pingat telah diterima antaranya, Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP) dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada tahun 2018. Beliau juga menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) pada tahun 2019.
Pada tahun 2023, beliau menerima dua lagi anugerah iaitu Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) dan Sri Sultan Ahmad Shah (SSAP).
Pada tahun 2024, beliau dianugerahkan Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS).
Anugerah-anugerah ini mencerminkan pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pasukan keselamatan negara.
Kini, sebagai Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid membawa bersama azam mempertingkat keupayaan dan kredibiliti pasukan, khususnya dalam menangani isu jenayah rentas sempadan dengan memanfaatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Sumber: Kementerian Dalam Negeri, Astro Awani, Bernama
BACA: Sofyank Mendunia Lagi, “Shoot” Video Bersama Hero Superman
BACA: Program Perhubungan Awam UiTM Pertama Di Malaysia, Ke-7 Di Asia