Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Wira Mohd Sumali Reduan menerima satu lagi pengiktirafan apabila dikurniakan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.
Pengurniaan itu disampaikan bersempena sambutan ulang tahun ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.
Mohd Sumali merupakan antara 56 penerima DCSM pada istiadat berkenaan.
Turut menerima darjah kebesaran sama ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Wira M Kumar; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Wira Dr Mohd Azhar Abd Hamid serta Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar.
Bagi Mohd Sumali, pengurniaan tersebut bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya amanah besar yang menjadi pembakar semangat untuk beliau terus menyumbang khidmat kepada agama, bangsa dan negara.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Tun Dr Mohd Ali atas kepercayaan serta pengiktirafan yang diberikan.
“Dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam, atas pengurniaan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) buat saya.
“Sesungguhnya, pengurniaan ini merupakan satu penghormatan dan amanah yang amat besar maknanya buat saya.
“Saya menerimanya dengan penuh rasa syukur serta akan menjadikannya sebagai dorongan untuk terus berbakti, menyumbang khidmat dan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Sumali turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke-77 kepada Tun Dr Mohd Ali.
Beliau mendoakan agar Yang di-Pertua Negeri Melaka itu sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, umur panjang serta kekuatan untuk terus memikul amanah menerajui negeri berkenaan.
“Semoga ALLAH SWT mengurniakan Tun kesihatan yang baik, umur yang panjang, ketenangan serta kekuatan dalam terus memikul amanah menerajui Negeri Melaka.
“Saya mendoakan agar Tun sentiasa berada dalam rahmat, perlindungan dan petunjuk ALLAH SWT, dipermudahkan segala urusan serta terus diberikan kebijaksanaan dalam memimpin dan membawa Negeri Melaka ke arah kemajuan, kesejahteraan dan kecemerlangan,” katanya.
Pengurniaan DCSM itu sekali gus menambah satu lagi pencapaian dalam perjalanan kerjaya Mohd Sumali yang kini menerajui badan induk sepak takraw negara.
Di bawah kepimpinannya, PSM terus memberi fokus terhadap usaha memperkukuh pembangunan serta meningkatkan prestasi sepak takraw negara di peringkat domestik dan antarabangsa.

