Wartawan & Jurukamera Dirompak Ketika Buat Liputan Kes Rompakan
CHICAGO — Seorang wartawan dan jurukamera dilaporkan dirompak oleh tiga lelaki bersenjata sewaktu melaporkan kejadian rompakan di kejiranan West Town, Chicago, Amerika Syarikat, lapor CBS News.
Difahamkan, tiga lelaki yang memakai topeng itu mengacukan senjata api ke arah kru berita televisyen Chicago sebelum membawa lari kamera dan beberapa peralatan. Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki dua buah kenderaan jenis Sedan berwarna kelabu dan SUV hitam.
Menurut Naib Presiden Stesen Berita Univision Chicago, Luis Godinez, kejadian itu berlaku sebelum jam 5 pagi waktu tempatan.
“Mereka didatangi oleh tiga lelaki yang bersenjatakan pistol sebelum dirompak. Kesemua suspek bertindak mengambil kamera dan barangan peribadi mereka.
“Bagaimanapun, mereka berada dalam keadaan baik,” katanya sewaktu memberitahu Chicago Tribune.
Tambah Godinez, rakaman liputan rompakan tersebut turut dibawa lari oleh perompak berkenaan.
String of robberies and armed carjackings reported across the city https://t.co/6xd63B5krF pic.twitter.com/rX5H2iJm6N
— CBS Chicago (@cbschicago) August 28, 2023
Sementara itu, pihak polis tempatan mengesahkan dua daripada tiga suspek merupakan lelaki berusia 28 tahun dan 42 tahun. Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.
Untuk makluman, insiden itu merupakan rompakan kedua pada bulan ini melibatkan kakitangan syarikat berita itu.
BACA JUGA: Perompak Terjatuh Hati, Paksa Mangsa “Add Friend” Dekat Facebook Sebelum Ajak Keluar “Dating”
Terdahulu, seorang jurugambar WLS-TV diserang dan dirompak pada 8 Ogos ketika membuat persiapan liputan pada sidang akhbar di Chicago’s West Side.
Berikutan itu, seorang individu dari Persatuan Kebangsaan Pekerja Penyiaran dan Juruteknik Tempatan, Siddiqui, 41, yang mewakili jurugambar TV di Chicago memberi amaran tentang ancaman keselamatan yang semakin meningkat dalam kalangan pemberita.
Katanya, persatuan itu bersama beberapa stesen berita lain berkerjasama mengambil langkah keselamatan terhadap kru.
“Pihak kami kini sedang mengatur mesyuarat keselamatan bagi membincangkan isu ini dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya tujuh rompakan dilaporkan berlaku di beberapa kawasan perumahan di bandar tersebut termasuk kes itu, lapor CBS Chicago
Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai untuk tidak terlibat dalam mana-mana pergelutan dengan perompak selepas terdapat beberapa mangsa mengalami kecederaan.
Sumber: CBS News