Siakap Keli
hari sabah 60 tahun
Kredit: Bernama

Hari Sabah Disambut Kembali Selepas 60 Tahun

Hari Sabah Disambut Kembali Selepas 60 Tahun

TAMBUNAN, 31 Ogos (Bernama) — Di samping sambutan Hari Kebangsaan, Sabah hari ini meraikan Hari Sabah, selepas kali terakhir disambut 60 tahun lepas.

Sambutan itu diserikan dengan perarakan kira-kira 500 peserta daripada 100 kontinjen antaranya agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam dan Hospital Tambunan serta Persatuan Kebajikan Prihatin Sabah dan Sekolah Adat Negeri Sabah.

Kehadiran Unduk Ngadau Kaamatan 2023 Carol Abbey Gail serta enam finalis lain pertandingan diiringi Pengerusi Pertandingan Joanna Kitingan pada sambutan itu turut menarik perhatian orang ramai yang hadir.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sambutan semula Hari Sabah itu bagi mengenang jasa pemimpin terdahulu dan pasukan keselamatan dalam memastikan Sabah serta negara aman dan makmur.

“Menyedari akan pentingnya Hari Sabah ini kepada seluruh rakyat maka kerajaan negeri memutuskan untuk mewujudkan kembali sambutan Hari Sabah di negeri ini dengan Tambunan menjadi tuan rumah pada tahun ini.

“Keputusan kerajaan negeri mengadakan semula Hari Sabah sebagai memperingati hari yang berakhirnya pemerintahan penjajah Inggeris di Sabah. Sementara Sarawak lebih awal mengisytiharkan 22 Julai setiap tahun sebagai Hari Sarawak,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Sabah di sini hari ini.

Daerah Tambunan terletak di bahagian pedalaman Sabah, kira-kira 75 kilometer (km) ke tenggara Kota Kinabalu.

Hajiji berkata Hari Sabah telah diisytiharkan Gabenor British Sir William Goode pada 28 Ogos 1963 di Jesselton, kini Kota Kinabalu, dengan mengisytiharkan Sabah akan mempunyai kerajaan sendiri serta mengguna pakai Perlembagaan Negeri baharu, berkuat kuasa 31 Ogos 1963.

Beliau berkata dengan terbentuknya kerajaan sendiri itu, ia menjadi permulaan kepada langkah lebih besar Sabah iaitu membentuk Persekutuan Malaysia dengan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 Sept 1963.

BACA: Ira Kazar Dedah Resepi Buat Sambal Sotong Kegemaran Suaminya, “Nak Lagi Ngam, Letak…”

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma