Jenazah Enam Beranak Selamat Dikebumikan
MUAR, 2 Sept (Bernama) — Jenazah enam beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Segamat-Kuantan dekat Taman Yayasan, Segamat petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah, Parit Jawa di sini.
Pasangan suami isteri Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43, serta empat anaknya Fatimatulzahrah,17; Seri Khadijah Aqilah,13; Rufaidatul Asyariyah,10; dan Muhammad Assyakrawi, 5; dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira 4.50 petang tadi.
Terdahulu, jenazah enam sekeluarga itu dibawa dari Hospital Segamat dan tiba di Masjid Ubudiah kira-kira 3 petang sebelum disembahyangkan serta diberi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan kenalan.
Anak sulung arwah, Abdurrahman, 19, mengimankan solat jenazah tersebut dengan diiringi lebih 500 jemaah.
Terdahulu kemalangan berkenaan yang berlaku pada 6.37 petang semalam melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah treler, sebuah Honda HRV, sebuah Proton Wira, sebuah Perodua Bezza dan Perodua Alza yang dinaiki mangsa sekeluarga.
Lima mangsa tersebut meninggal dunia di lokasi manakala Muhammad Assyakrawi, meninggal ketika menerima rawatan.
Seorang lagi anak Amir Ruddin yang juga mangsa kemalangan, Abdullah, 15, masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.
Difahamkan kejadian itu berlaku selepas sebuah lori membawa muatan pasir hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Honda HRV memperlahankan kenderaan kerana terdapat kerja-kerja pembaikan jalan sebelum lori yang bergerak dari arah sama gagal membrek dan hilang kawalan.
Akibat pelanggaran itu, lori berkenaan terbabas ke sebelah kanan jalan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza dinaiki tujuh sekeluarga itu.
BACA: Ingat Benda Sama Rupanya Tak, Ini Beza “Router” Dengan “Modem” WiFi Ramai Tak Tahu
Sumber: Bernama