Dua Pemandu Alami Detik Cemas, Kereta Remuk Terlanggar Dapur Gas Di LPT1
Terlanggar objek dipercayai dapur gas, dua kereta jenis Toyota Vios dan Honda Civic remuk dalam kejadian di Kilometer 116.7 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur Jumaat lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, dapur gas tersebut disyaki terjatuh dari kenderaan lain.
Kedua-dua pemandu terbabit yang berusia 30 tahun dan 38 tahun selamat namun kereta mereka mengalami kerosakan.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden itu sekitar jam 11 malam daripada mangsa.
BACA JUGA: Polis Terima Empat Laporan Penampakan Harimau Belang
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kedua-dua pemandu terbabit dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, terdapat objek dipercayai dapur gas berada di lorong kanan lalu dilanggar kereta Toyota Vios.
“Pemandu Honda Civic turut mengalami nasib sama apabila terlanggar objek itu sebelum berhenti mengalihkan objek tersebut ke lorong kecemasan,” katanya.
Jelasnya lagi, ada tiga kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu tetapi hanya dua pemandu yang membuat laporan polis.
Susulan kejadian ini, Mazlan menasihatkan orang ramai terutama pemandu lori dan kenderaan perdagangan untuk memastikan barang atau muatan yang dibawa diikat kemas bagi mengelakkannya terjatuh ke atas jalan raya. Sekaligus, mengelakkan sebarang bahaya dan kerugian terutama kepada pengguna jalan raya yang lain.
Sumber: Sinar Harian