Selesai Angkat Sumpah, Mohd Amar Dilantik Speaker DUN Kelantan
KOTA BHARU — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada penggal ke-15 hari ini, lapor Sinar Harian.
Difahamkan, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu mengangkat sumpah taat setia dalam satu Majlis Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan di Kota Darul Naim.
Ucap Mohd Amar dalam majlis tersebut, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kerana memberikan kepercayaan untuknya memikul tanggungjawab itu.

Tegasnya lagi, sumpah setianya terhadap tanggungjawab sebagai Speaker DUN akan dilakukan sedaya upaya.
“Saya akan setiawan, bertaat setia dengan negeri Kelantan akan menjaga dan mempertahankan negeri kelantan.
“Saya juga akan setiawan dan bertaat setia dengan Sultan Kelantan dan waris-waris gantinya menurut undang-undang,” ujarnya ketika mengangkat sumpah jawatan Speaker Kelantan.
BACA JUGA: Ramli Mohd Nor & Alice Lau Kiong Yeng Dilantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat
Dalam pada itu, jawatan Timbalan Speaker disandang oleh ADUN Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.
Sementara itu, akaun Facebook rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) turut memberikan ucapan tahniah di atas perlantikan Mohd Amar sebagai Speaker DUN itu.
“Tahniah YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker DUN Kelantan yang baharu.” tulis parti tersebut.
Terdahulu, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan lalu.
Beliau yang mewakili parti Pas di bawah Perikatan Nasional (PN) berjaya menewaskan pesaingnya Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain dari Pakatan Harapan dengan majoriti sebanyak 10,686 undi.
ADUN Panchor itu turut menzahirkan kesyukuran ke atas kemenangan tersebut dalam PRN baru-baru ini dalam satu muat naik di laman Facebook rasmi.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pengundi di dalam DUN Panchor dan juga Parlimen Pengkalan Chepa bahkan seluruh negeri Kelantan yang telah memberikan undi kepada calon-calon daripada Parti Islam Semalaysia dan juga Perikatan Nasional.
“Kerana sokongan tuan-tuan dan puan-puan semualah kita mendapat kemenangan yang besar dan insya-Allah amanah ini akan cuba kita tunaikan dengan sebaik yang mungkin insya-Allah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian