Siakap Keli
mohammad panglima atm
Gambar: Bernama

Mohammad Dilantik Panglima ATM Yang Baharu

Mohammad Dilantik Panglima ATM Yang Baharu

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) — Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ke-22 berkuat kuasa hari ini.

Mohammad mengambil alih jawatan nombor satu dalam ATM itu daripada Jen Tan Sri Affendi Buang yang bersara hari ini.

Majlis serah terima tugas Panglima ATM berkenaan disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Mohammad, 59, dilahirkan di Machang, Kelantan pada 15 Mac 1964 telah dilantik sebagai PTD yang ke-29 pada 22 Mac tahun ini.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Sains Kelantan sebelum melanjutkan pelajaran di Cawangan Putera, Maktab Tentera Diraja pada 1980.

BACA JUGA: Ahmad Terrirudin Dilantik Sebagai Peguam Negara

Mohammad meneruskan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang Sains Komputer di University of North Carolina, Charlotte, Amerika Syarikat.

Beliau telah ditauliahkan sebagai seorang pegawai muda dalam Kor Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1 Julai 1987.

Sepanjang perkhidmatan, Mohammad telah menghadiri pelbagai kursus dalam dan luar negara antaranya Kursus Staf dan Taktik Gred 2 di Waiouru, New Zealand dan Army Command and Staf College di Queenscliffe, Australia.

Beliau juga merupakan graduan dari Maktab Pertahanan Angkatan Tentera, Kuala Lumpur, selain memegang Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan dari University of Canberra, Australia dan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Kajian Pertahanan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Antara jawatan penting lain yang pernah disandang Mohammad ialah Timbalan Panglima Tentera Darat,  Panglima Medan Barat Tentera Darat, Panglima Latihan Tentera Darat, Pemangku Pengarah Operasi Domestik di Markas Angkatan Bersama, Ketua Staf Markas Briged Ketiga Infantri dan Ketua Staf Markas Divisyen Ketiga Infantri.

Turut hadir pada majlis itu Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?