Siakap Keli
kapsyen gambar ahmad dhani
Kredit: @ahmaddhaniofficial/Instagram

“Sama-sama Pernah Dipenjara,” Kapsyen Gambar Ahmad Dhani Bersama Anwar Ibrahim Raih Perhatian

“Sama-sama Pernah Dipenjara,” Kapsyen Gambar Ahmad Dhani Bersama Anwar Ibrahim Raih Perhatian

Program dialog anak muda bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dinamakan sebagai Temu Anwar buat julung kali diadakan di luar negara iaitu di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Difahamkan, program tersebut diadakan untuk memberi ruang kepada setiap lapisan masyarakat terutamanya anak muda untuk bersemuka secara langsung dan bertanya soalan kepada Perdana Menteri.

Selain daripada mahasiswa dan anak muda, pemuzik terkenal Indonesia kumpulan Dewa19, Ahmad Dhani turut menyertai program itu yang dijalankan dalam suasana santai dan penuh harmoni.

Pemuzik berusia 51 tahun itu kemudiannya memuat naik gambar dirinya bergambar bersama Anwar Ibrahim di laman media sosial Instagram sejurus program tersebut selesai.

Dalam gambar tersebut, Ahmad Dhani menggenggam tangan Anwar Ibrahim sambil senyum di hadapan kamera.

Bagaimanapun, terdapat satu perkara yang menarik perhatian umum dalam hantaran itu di mana kapsyen yang digunakan Ahmad Dhani tidak dijangka oleh orang ramai.

“Sama-sama pernah dipenjara,” memetik kapsyen yang ditulis.

Kapsyen tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya di Indonesia dan Malaysia susulan kedua-dua figura tersebut pernah dimasukkan ke dalam penjara pada suatu ketika dahulu.

Untuk rekod, pada tahun 2019 Ahmad Dhani pernah ditahan dan dipenjarakan selama 18 bulan di Cipinang, Jakarta Timur.

Manakala, Anwar Ibrahim pula dipenjara sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1996 dan 2015 di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

BACA: “Welcome To Kuala Lumpur,” PM Anwar Ibrahim Alu-Alukan Kedatangan Coldplay Di Malaysia

“Suasana harmoni dan santai…”

Sementara itu, program Temu Anwar Jakarta turut mendapat sambutan baik daripada warga Indonesia dengan rata-rata mereka yang mengutarakan soalan berkaitan hubungan dua negara dalam aspek pendidikan dan ekonomi.

Anwar Ibrahim menerusi platform X yang sebelum ini dikenali Twitter berkongsi secara ringkas perkara berkaitan perkara yang dibincangkan dalam program tersebut.

Kredit: @anwaribrahim/X

“Beberapa soalan mendesak ditanya antaranya keperluan meningkatkan hubungan anak seni terkait dua negara, soal pendidikan, diplomasi dan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan.

“Sesi ini juga ruang untuk saya jelaskan secara santai akan hala tuju Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani untuk difahami warga hadirin, termasuk yang menyaksikan secara langsung di alam maya,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata adalah lebih baik untuk memberikan penjelasan berkaitan hala tuju kerajaan untuk mengelakkan daripada berlakunya salah faham.

“Mending lebih banyak penjelasan dibuat berkaitan hala tuju kerajaan dari disalahtafsir mahupun termakan dengan fitnah dalam zaman yang penuh dengan tantangan kepesatan teknologi, termasuk di rantau ASEAN ini,” ujarnya.

Sumber: @ahmaddhaniofficial/Instagram

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana