Pemain Bola Sepak Wanita Iras Ronaldinho, Peminat Gesa Lakukan Ujian DNA
AFRIKA SELATAN — Peminat bola sepak menggesa ujian DNA dilakukan selepas menyedari seorang pemain bola sepak wanita dari Afrika Selatan, Miche Minnies mempunyai wajah mirip dengan lagenda Brazil, Ronaldinho Gaúcho, lapor Daily Star.
Minnies, 21, merupakan penyerang bagi pasukan kebangsaan Afrika Selatan dan bermain untuk kelab Mamelodi Sundowns Football Club (FC).
Pemain tersebut tular di media sosial selepas wajahnya dikaitkan dengan bekas pemenang Ballon d’Or berkenaan.
Jelmaan Ronaldinho

Gambar Minnie sewaktu menyarung jersi kelab itu juga dimuat naik bersama gambar lagenda Barcelona itu sewaktu mengenakan jersi kebangsaan Brazil.
Berikutan itu, persamaan kedua-dua pemain itu semakin diperkatakan oleh peminat kerana masing-masing memakai jersi berwarna kuning.
Ronaldinho's lookalike
21-year-old South African Forward, Miche Minnies plays for Mamelodi Sundowns Ladies. pic.twitter.com/jNJNb2eUDQ
— Africa Facts Zone (@AfricaFactsZone) September 3, 2023
Miche Minnies
Untuk makluman, Minnies lahir pada tanggal 14 November 2001, lapor Sportskeeda.
Dia juga merupakan seorang pemain yang berbakat dan telah menjaringkan 23 gol dalam semua pertandingan untuk membantu kelabnya bagi mengekalkan kejuaraan Liga.
Bukan sahaja itu, dia juga berjaya membawa Sundowns mara ke pusingan akhir kelayakan Piala COSAFA dan Liga Juara-Juara Wanita (CAF).
Pada 2018, dia merupakan prospek bagi pasukan Afrika Selatan dalam Piala Dunia Wanita Bawah 17 tahun (B17).
BACA JUGA: Kes Antony Letakkan Man United Dalam Tekanan, Ramai Menanti Tindakan Yang Bakal Diambil
Pemain itu mula menjadi perhatian apabila membantu Sundowns membenam Costa Do Sol dengan skor 4-0 dalam CWCL pada Isnin lalu.
Berikutan itu, timbul pelbagai spekulasi dan gurauan daripada orang ramai termasuk mendakwa dirinya sebagai anak kepada lagenda Brazil itu meskipun pemain itu bukan anak Ronaldinho.
Ronaldinho

Ronaldo de Assis Moreira atau lebih dikenali sebagai Ronaldinho Gaúcho merupakan bekas bintang Brazil pada suatu ketika dahulu. Pemain bola sepak itu berjaya merangkul beberapa trofi kejuaraan termasuk memenangi Piala Dunia, Copa America dan Piala Konfederasi bersama skuad Brazil.
Manakala di peringkat kelab pula, dia pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL), La Liga di Barcelona dan Serie A bersama AC Milan sebelum mengambil keputusan untuk bersara pada Januari 2018.
Sumber: Daily Star, Sportskeeda