Polis Tiru Salakan Anjing K-9 Berjaya Perdaya Suspek Curi Kereta Serah Diri
Seorang polis di Washington menggunakan cara kreatif menyalak seperti anjing untuk memperdaya suspek curi kereta supaya menyerah diri, lapor Daily Mail.
Jabatan Syerif Daerah Pierce telah berkongsikan klip video empat minit yang menunjukkan pegawai tersebut menggunakan teknik luar biasa itu untuk menahan pesalah.
Rakaman itu dipercayai dirakam berhampiran dengan hutan di tanah perkuburan di Chambers Creek Way, University Place, barat Tacoma.
Kejadian berlaku selepas polis tempatan dipanggil ke kawasan itu pada 8.25 pagi pada 18 Ogos lalu bagi melaporkan berkenaan kes kecurian kenderaan.
Para pegawai berjaya menemui kenderaan itu dan menggunakan paku penghenti kenderaan di atas jalan untuk memancitkan tayar kenderaan tersebut.
Suspek yang menyedari kehadiran polis telah bertindak melarikan diri dari tempat kejadian dengan berjalan kaki.
Deputi kemudiannya melancarkan operasi mencari dan seorang pegawai ternampak suspek berlari ke arah anak sungai.
Pihak berkuasa berkata, ketika itulah salah seorang sarjan memilih “cara yang sangat menarik itu untuk memaksa suspek menyerah diri’.

“Jangan paksa kami melepaskan K-9 kami,” jerit pegawai itu yang cuba menakutkan.
Pegawai itu kemudiannya menyalak dengan agresif ke arah suspek yang akhirnya menyerah diri kepada polis.
BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas
Kesemua suspek ditahan polis dan dipakaikan gari bagi memudahkan untuk membawa mereka ke balai.
“Pekerjaan yang hebat dan A+ untuk kreativiti dalam memikirkan cara untuk membuat pencuri kereta juvana itu menyerah diri,” kata pejabat syerif.
“Apa yang menarik adalah, semua suspek dikatakan benar-benar mempercayai kewujudan anjing tersebut,” kata pejabat syerif itu.
“Sebaik sahaja saya mendengar anjing itu, saya menyerah,” cerita semula Sarjan Pejabat Syerif, Darren Moss dalam satu kenyataan.
Polis juga berjaya menemui semula kenderaan yang dicuri berhampiran lokasi itu tidak lama kemudian selepas penangkapan dibuat.
Tiada butiran mengenai identiti suspek yang didedahkan atau atas pertuduhan apa yang mungkin dihadapi oleh suspek tersebut.
Pejabat Syerif Pierce County sememangnya memiliki pasukan K-9 dan terlatih dalam mengesan suspek, carian bangunan dan lokasi kejadian.
Dua daripada anjing itu adalah German Shepherds dan dua lagi adalah dari jenis Malinois Belgium.
Sumber: Daily Mail