Syed Saddiq Enggan Kosongkan Kerusi Parlimen Muar
Walaupun terdapat desakan untuk mengosongkan kerusi Parlimen, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan dirinya enggan membuat tindakan tersebut walaupun Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) telah meninggalkan blok kerajaan.
Lapor Sinar Harian, perkara tersebut sebaliknya perlu dilakukan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) susulan melanggar ikrar untuk memerangi rasuah, menurut presiden Muda itu.
Jelasnya, beliau tidak perlu melakukan perkara tersebut kerana tidak pernah mengkhianati janji kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Jikalau saya perlu kosongkan kerusi kerana ingin lawan rasuah, saya cadang beli cermin untuk ahli Parlimen atau menteri yang kata perkara tersebut.
“Kalian semua perlu kosongkan kerusi juga. Sejak bila kamu dipilih untuk gugurkan rasuah. Adakah kamu sedia untuk kosongkan kerusi juga,” katanya.
Beliau berkata demikiam menerusi siaran langsung (live) di media sosial pada Ahad.
Tambahnya, pembebasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah membuatkan PH menguburkan reformasi yang dijanjikan kepada rakyat.
“Apa platform yang kita berjuang? Sebelum PRU kita (kata) takkan gugurkan rasuah, akan lawan rasuah, akan bawa pembaharuan.
“Apa yang dijanjikan sebelum PRU dengan lepas PRU bagai langit dan bumi,” katanya.
BACA: MUDA Sah Tak Lagi Bersama Blok Kerajaan, Kini Jadi Pembangkang “Third Force”
Terdahulu, media melaporkan desakan yang meminta Syed Saddiq untuk mengosongkan semula kerusi Parlimen telah dibuat oleh Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak.
Menurutnya, perkara itu perlu dilakukan kerana kemenangannya yang diraih semasa PRU bukanlah atas kapasitinya sendiri, malah atas semangat Muda sebagai pakatan pilihan raya bersama PH.
“Umum mengetahui kemenangan kerusi Parlimen Muar disumbang oleh kekuatan sokongan, jentera dan pengaruh PH.
“Kegagalan beliau mengosongkan kerusi adalah tindakan menculik kerusi Parlimen Muar dengan menjadikannya sebagai third force serta satu pengingkaran terhadap mandat rakyat di Parlimen Muar yang memilih Parti Muda sebagai pakatan pilihan raya bersama PH,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian