MUDA Sah Tak Lagi Bersama Blok Kerajaan, Kini Jadi Pembangkang “Third Force”
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abdul Rahman mengesahkan partinya akan bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga sekali gus menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Syed Saddiq berkata perkara tersebut telah dibincangkan bersama kepimpinan parti yang lain.
Jelasnya, surat berkenaan perkara itu telah diutuskan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Saya Ahli Parlimen Muar dari MUDA, telah membuat keputusan selepas berbincang dengan parti untuk menjadi pembangkang third force dan tidak bersama dengan kerajaan hari ini.
“Surat telah diutus ke Speaker Dewan Rakyat berkenaan perihal ini.
“Ini adalah keputusan yang sukar tetapi ia mesti dilakukan. Perjalanan di hadapan akan panjang dan sunyi tetapi berbaloi kerana Malaysia akan sentiasa didahulukan.
“Tindakan kerajaan hari ini menggugurkan 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) menyukarkan MUDA untuk terus kekal dalam kerajaan,” katanya dalam satu video di Facebook miliknya pada Ahad.
Jelasnya, ini bukan kali pertama beliau melakukan perkara yang mengikut prinsip.
BACA: Pendakwaan Dikenakan Terhadap Saya Kerana Tidak Sokong Muhyiddin – Syed Saddiq
“Ini bukan kali pertama saya membuat keputusan berdasarkan prinsip (kerana) pada tahun 2020 semasa langkah sheraton berlaku saya ditawarkan jawatan menteri, pengerusi GLC, saya tolak.
“Diugut? Saya lawan, saya lawan kerana saya mahu membina Malaysia yang bermaruah dan berintegriti,” tambahnya.
Dalam pada itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata beliau tidak akan membenarkan Malaysia menjadi sebuah negara yang menormalisasikan rasuah.
“Katanya, beliau mahu melihat negara ini menjadi sebuah negara membangun yang menegakkan perundangan dan meraikan kepelbagaian.
“Saya seorang rakyat Malaysia yang bangga, ingin melihat negara bertuah ini menjadi sebuah negara maju, yang menjunjung kedaulatan undang-undang dan meraikan kepelbagaian Malaysia.
“Muda dengan ini ingin fokus sebagai third force di blok pembangkang, supaya menjadi suara rakyat dan mainkan peranan semak dan imbang,” katanya.
Sementara itu, Syed Saddiq turut menjelaskan partinya tetap akan menyokong segala usaha reformasi institusi dan perihal rakyat.
https://www.facebook.com/watch/?v=205751519011755
Sumber: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman/Facebook