Mayat Lelaki Ditemui Dalam Keadaan Berlumuran Darah Di Ruang Pendingin Hawa UTC Kedah
Orang awam telah dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki berlumuran darah di bangunan kompleks Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah di Jalan Kolam Air, hari ini.
Memetik laporan Astro Awani, mayat lelaki tersebut telah ditemui di ruang pendingin hawa di bangunan kompleks terbabit.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan berhubung kejadian terbabit kira-kira 10.15 pagi ini.
Ekoran itu, sepasukan pegawai dan anggota polis telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan.
Difahamkan, mayat lelaki berkenaan telah ditemui oleh seorang saksi ketika individu tersebut sedang menunggu kenderaan e-hailing.
“Mayat itu ditemui seorang saksi berusia 25 tahun dan mengesyaki lelaki itu sudah meninggal dunia kemudian bertindak menghubungi polis melalui talian MERS 999.
“Saksi memaklumkan dia ternampak seseorang terbaring di ruangan pendingin hawa di bangunan berkenaan ketika sedang menunggu kenderaan e-hailing di situ.
“Mayat si mati kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat,” jelasnya.
Jelas Ahmad Shukri, pihaknya setakat ini sedang cuba untuk mengenal pasti identiti si mati yang berusia dalam lingkungan 39 tahun itu.
Pada masa yang sama, siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Berita lanjut bakal menyusul
BACA: Nasi Bau Hangit, Letak ‘Satu’ Bahan Ini Auto Jadi Wangi Semula
Sumber: Astro Awani