Siakap Keli
perancis iphone 12 radiasi elektromagnetik
Gambar: AFP

Perancis Arah Penjualan Iphone 12 Dihentikan, Radiasi Elektromagnetik Lepasi Had Ditetapkan

Perancis Arah Penjualan Iphone 12 Dihentikan, Radiasi Elektromagnetik Lepasi Had Ditetapkan

Perancis baru-baru ini mengarahkan penjualan Iphone 12 di negara itu dihentikan, lapor Euronews.

Ia selepas peranti itu didapati mendedahkan radiasi elektromagnetik melepasi had ditetapkan kepada penggunanya. Langkah yang diambil negara itu dipercayai bakal diikuti oleh negara-negara Eropah yang lain.

Kesatuan Eropah (EU) mempunyai masa tiga bulan untuk melakukan bantahan terhadap keputusan diambil oleh Perancis itu. Namun sekiranya EU tidak berbuat demikian, ia mungkin membawa kepada sekatan penjualan Iphone 12 di seluruh wilayah EU. Ia susulan EU mempunyai direktif terhadap kelengkapan radio.

Selasa lepas, Agensi Frekuensi Kebangsaan Perancis (ANFR) mengarahkan Apple agar segera mengambil apa jua langkah yang perlu bagi menangani masalah yang ditemui pada peranti tersebut. Sekiranya tidak berbuat demikian, syarikat tersebut perlu memanggil semula semua Iphone 12 yang dijual di negara berkenaan.

”Untuk telefon yang sudah pun dijual, Apple perlu melakukan pembetulan segera untuk memastikan semua model tersebut mematuhi standard yang ditetapkan. Jika tidak, Apple bertanggungjawab untuk memanggil semula Iphone 12 yang dijual,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Perancis arah jualan Iphone 12 dihentikan, radiasi elektromagnetik lepasi had ditetapkan

Agensi berkenaan bertanggungjawab secara langsung memantau kelengkapan radio dan pendedahan orang awam kepada gelombang elektromagnatik.

Ejen-ejen daripada agensi tersebut telah pun dikerahkan bagi memastikan peranti berkenaan tidak lagi dijual kepada orang ramai. Malah, banyak stor telekomunikasi di Perancis sudah pun mengeluarkan Iphone 12 daripada barisan produk yang dijual.

Terdahulu, AFNR dilapor menjalankan pemeriksaan Kadar Penyerapan Spesifik (SAR) terhadap 141 model telefon bimbit yang dijual di Perancis, termasuk Iphone 12. SAR mengukur kadar tenaga frekuensi radio yang diserap oleh manusia.

Menurut agensi itu, mereka menganalisis telefon-telefon tersebut berdasarkan dua situasi. Situasi itu adalah ketika telefon berada berdekatan dengan manusia, seperti dipegang atau di dalam poket. Manakala situasi kedua adalah ketika telefon itu berada pada jarak 5 milimeter daripada badan, seperti berada di dalam beg.

Had SAR yang ditetapkan apabila telefon berdekatan dengan manusia adalah pada 4 watts per kilogram (W/kg), namun Iphone 12 mencatatkan 5.74 W/kg. Peranti tersebut tidak melepasi had tersebut ketika telefon diletakkan di dalam beg.

Jean-Noël Barrot, menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal digital berkata, angka tersebut adalah 10 kali lebih rendah daripada tahap dimana ia boleh mendatangkan risiko kesihatan.

 

”Tetapi peraturan adalah peraturan dan Apple perlu mematuhinya,” katanya.

Apple dalam pada itu berkata, Iphone 12 sudah pun mematuhi semua piawaian yang ditetapkan oleh AFNR. Bagaimanapun, pihaknya sedia untuk melakukan pembetulan agar model tersebut dapat terus dijual dan diguna di negara itu.

Jean-Noël Barrot berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan semula terhadap Iphone 12 selepas pembetulan dibuat. Sekiranya ia menepati piawaian ditetapkan, sekatan itu akan ditarik semula.

BACA: 10 Hari Sembelit, Lelaki Ada Sejarah Penyakit Jantung Meninggal Dunia Ketika Berak

Sumber: Euro News

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.