Siakap Keli
elavarasan letak jawatan Ketua Jurulatih
Gambar: Bernama

Elavarasan Letak Jawatan Ketua Jurulatih B-23

Elavarasan Letak Jawatan Ketua Jurulatih B-23

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan E. Elavarasan secara rasminya melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan antara Elavarasan dan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin baru-baru ini, bagi membincangkan hala tuju pasukan B-23 kebangsaan selepas aksi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Noor Azman memaklumkan jurulatih berusia 61 tahun itu bersetuju untuk kembali fokus kepada tanggungjawab asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan bagi membantu Kim Pan Gon dalam skuad senior, sekali gus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan.

“Pengganti Elavarasan sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar pada April depan hanya akan diumum selepas beberapa penelitian dan perbincangan dengan pihak terlibat serta kata putus yang akan dicapai nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Azman, Hamidin turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan Elavarasan yang tetap berjaya mengemudi pasukan layak ke Piala Asia B-23 2024, biarpun tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi terakhir kelayakan, 12 Sept lepas.

BACA JUGA: Ini Sebab Malaysia B-23 Layak Ke Piala Asia B-23 Walaupun Tewas Dengan Thailand

Pada 1 Sept tahun lepas, Elavarasan diumum sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan baharu bagi menggantikan Brad Maloney dan pada masa sama masih memegang jawatan pembantu Pan Gon dalam skuad senior negara.

FAM pada ketika itu membuat keputusan melantik Elavarasan bagi mengemudi skuad B-23 kebangsaan kerana beliau berada dalam sistem kejurulatihan Pan Gon, sekali gus memudahkan proses kesinambungan skuad senior dan skuad B-23 negara.

Skuad B-23 kebangsaan berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac, serta layak  ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada Ogos, dan layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand baru-baru ini.

Sumber: BERNAMA 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?