Siakap Keli
Bekalan beras putih tempatan
Kredit BERNAMA

Bekalan Beras Putih Tempatan Mencukupi, Rakyat Selangor Tidak Perlu Panik – Amirudin

Bekalan Beras Putih Tempatan Mencukupi, Rakyat Selangor Tidak Perlu Panik – Amirudin

SHAH ALAM, 21 Sept (Bernama) — Stok beras putih tempatan (BPT) di Selangor mencukupi berdasarkan keperluan bulanan negeri itu iaitu sebanyak 45,500 tan metrik sebulan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata pada masa sama, bekalan BPT juga akan mula stabil bermula bulan depan dengan pengeluaran padi di utara Selangor mula dituai.

“Semalam, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah memanggil pihak Kawal Selia Padi dan Beras Selangor berkaitan bekalan beras, mereka telah laporkan bekalan beras mencukupi dan rakyat tidak perlu membuat pembelian panik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Jualan Ehsan Rahmah dan pelancaran logo baharu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini hari ini.

Amirudin berkata kapasiti pengeluaran beras di Selangor adalah 138,903.13 tan setahun di kawasan tanaman padi berkeluasan 18,061.53 hektar melibatkan 6,871 orang pesawah.

BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas

“Ini bersamaan dengan pengeluaran 4.19 tan bagi setiap hektar. Tetapi, pada tahun lepas kita berjaya mengeluarkan sebanyak 75,000 tan (beras) sahaja di Sekinchan disebabkan penyakit padi dan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata mulai hari ini penduduk di negeri itu boleh membeli beras lima kilogram (kg) pada harga serendah RM13 di tujuh lokasi iaitu outlet Wisma PKPS, Seksyen 14, dan outlet Ehsan PKPS, Seksyen 9, masing-masing di Shah Alam; outlet Ehsan PKPS, Meru; Kiosk Ehsan, Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya serta tiga lori jualan bergerak Ehsan PKPS yang akan berada di sekitar Selangor.

“Kepada rakyat Selangor, jika terdapat sebarang masalah bekalan, anda boleh menghubungi pihak Kawal Selia Padi dan Beras Selangor di talian 03-32898419 ataupun 017-2230771 untuk bercakap terus atau melalui aplikasi WhatsApp, dan kita akan mengambil tindakan dalam masa 24 jam bagi mengatasi aduan bekalan BPT,” katanya.

Amirudin berkata pihaknya menerusi PKPS juga akan membeli beras import dan dijual pada harga beras tempatan jika stok beras masih tidak mencukupi.

“Ini semua bagi mengurangkan beban rakyat dan usaha tambahan kita, walaupun kita tahu stok mencukupi, jika ada kekurangan kita akan tambah,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka