Siakap Keli
suami isteri aniaya kanak-kanak
Gambar: Bernama

Pasangan Suami Isteri Aniaya Kanak-Kanak 6 Tahun Dipenjara Dua Tahun

Pasangan Suami Isteri Aniaya Kanak-Kanak 6 Tahun Dipenjara Dua Tahun

KUALA PILAH, 21 Sept (Bernama) — Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun antara Mac tahun ini hingga 12 Sept lepas.

Hakim Norma Ismail turut memerintahkan bapa kandung kanak-kanak itu yang berumur 27 tahun dan ibu tiri kanak-kanak itu, 31, masing-masing dikenakan bon kelakuan baik selama dua tahun dan melakukan kerja khidmat masyarakat selama 80 jam.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa telah menganiaya kanak-kanak itu sehingga mengalami kecederaan fizikal antara Mac ini sehingga 12 Sept lepas di sebuah rumah di Bahau, Jempol.

Mereka  dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

BACA JUGA: Suami Isteri Ditahan Disyaki Dera Kanak-Kanak Lelak

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, Peh memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kepada pasangan tersebut kerana sebagai ibu bapa, mereka seharusnya menjaga anak bukan mendera kanak-kanak yang tidak mampu mempertahankan diri.

“Kes ini serius, hukuman berat kepada tertuduh perlu diberikan atas faktor kecederaan di seluruh badan kanak-kanak itu. Hukuman yang berat juga dapat memberikan amaran kepada orang awam,” katanya.

Pasangan itu memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana memiliki tiga anak yang masih kecil.

“Saya harap hakim ringankan hukuman. Saya masih ada tiga orang anak yang masih kecil… saya minta maaf, saya tahu memang saya betul-betul bersalah (sepatutnya) menjadi seorang suami dan ayah yang terbaik untuk keluarga saya,” kata bapa kanak-kanak itu.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?