Siakap Keli
ikan wadik mandai cempedak maman jeruk
Kredit: Facebook/ Wahida Hambali

Makanan Tradisi Orang Banjar, Cara Buat Ikan Wadik, Mandai Cempedak & Jeruk Maman

Makanan Tradisi Orang Banjar, Wanita Kongsi Cara Buat Ikan Wadik, Mandai Cempedak & Jeruk Maman

Malaysia merupakan negara yang kaya dengan budaya dan adat resam. Maka, tidak hairanlah jika negara kita memiliki kepelbagaian dari sudut gastronomi.

Selain daripada tiga kaum utama di Malaysia, negara kita juga memiliki pelbagai juadah tradisi daripada kaum dan etnik yang lain.

Salah satunya juadah enak daripada etnik Melayu Banjar yang ramai menetap di Semenanjung Malaysia serta ada di Sabah dan Sarawak.

Antara makanan tradisi masyarakat Banjar yang popular adalah seperti Ikan Wadik, Mandai Cempedak dan Jeruk Maman.

Seorang wanita yang dikenali sebagai Wahida Hambali berkongsi resepi ketiga-tiga makanan ini bersama rakan media sosial di laman Facebooknya.

Jelasnya, ketiga-tiga makanan tersebut merupakan juadah yang sering dimakannya sejak kecil sehingga ke hari ini.

Menariknya, jika terdapat sebarang bencana atau malapetaka yang tidak dapat dielakkan, makanan ini boleh dijadikan  bekalan makanan kecemasan.

Hal ini kerana, ketiga-tiga juadah ini disimpan dalam bekas tertutup dan bertahan untuk jangka masa yang agak lama.

Berikut merupakan resepi bagi tiga juadah Banjar yang dikongsikan Wahida yang diwarisi dari nenek dan ibunya.

Ikan Wadik

Ikan Wadik merupakan juadah ikan yang dibuat seperti ikan pekasam. Ikan yang biasa digunakan ikan yang boleh ditemui di tali air atau kawasan parit seperti sepat, puyu, lampam, belida dan tilapia.

Bahan-bahannya selain ikan adalah serai, cili kering, kunyit serbuk, asam keping, bawang kecil, garam dan beras digoreng tanpa minyak.

Cara-caranya adalah kkan disiang bersih terlebih. Kemudian basuh dan peram dengan garam selama 24 jam. Selepas itu, ikan ditoskan.

Air tapisan ikan tadi direbus bersama serai, garam, serbuk kunyit, cili kering dan bawang kecil yang dibelah empat, asam keping sehingga mendidih dan sejukkan. Tapis dan asingkan air dan bahan-bahan.

Apabila sejuk, air tadi disiram pada ikan yang telah disusun dalam balang yang telah dilapiskan bersama beras tadi. Beras perlu dikisar halus terlebihdahulu. Akhir sekali di lapisan atas, letakkan bahan-bahan seperti cili kering, asam keping dan bawang tadi.

Kemudian, peram selama tiga hingga enam bulan. Ikan yang matang lebih dari dua tahun akan lebih beraroma dan sangat sedap.

Mandai Cempedak

Bahan-bahan untuk menghasilkan mandai cempedak hanyalah tiga sahaja iaitu kulit cempedak, garam dan air.

Cara-caranya pula adalah kulit cempedak perlu dikupas pada bahagian luarnya yang berwarna hijau. Seterusnya,potong dadu dan masukkannya ke dalam balang.

Masukkan air panas mendidih dan sedikit garam. Peram selama tiga hari dan mandai cempedak sedia untuk dimakan.

Untuk dimakan, mandai cempedak boleh digoreng dengan cili, bawang dan juga ikan bilis.

Jeruk Maman

Sama seperti Mandai Cempedak, jeruk maman hanya memerlukan bahan yang sedikit iaitu, empat bahan sahaja. Bahan-bahannya adalah maman, air, garam dan nasi.

Cara pembuatannya pula, maman dibersihkan, dipotong dan basuh serta simpan dalam balang. Letakkan nasi dan air suam memenuhi balang. Simpan selama tiga hari dan anda boleh menikmatinya tanpa sebarang masalah.

Juadah ini biasanya dimakan dengan ikan bakar ataupun juadah ikan yang lain. Sebelum dinikmati, potong  bawang dan cili bagi menjadikan rasanya yang lebih lazat.

Selamat mencuba.

BACA: Tetap Ditutup Dengan Cadar, Tapi Kenapa Tilam Dijual Ada Jahitan & Corak Cantik?

Sumber: Wahida Hambali via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma