Siakap Keli
Air Selangor lancar Boboiboy Air
Gambar: FB Air Selangor

Air Selangor, Monsta Lancar “Boboiboy Air” Siri Khas

Air Selangor, Mosta Lancar “Boboiboy Air” Siri Khas

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dengan kerjasama Monsta, penerbit siri animasi terkenal BoBoiBoy, melancarkan siri khas bertajuk “BoBoiBoy Air” sempena sambutan Hari Sungai Sedunia semalam.

Air Selangor dalam kenyataannya memaklumkan ini merupakan tahun ketiga kedua-dua pihak bekerjasama dalam inisiatif meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan melindungi dan memulihara sumber air seperti sungai, tasik dan kolam.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berharap mesej penting berkaitan pemuliharaan air dan tanggungjawab orang ramai terhadap alam sekitar dapat disampaikan kepada masyarakat dengan lebih berkesan dan mudah melalui siri video animasi itu.

Menampilkan tema tentang pencemaran sisa toksik di sungai, siri ini mengisahkan bagaimana BoBoiBoy dan rakan-rakannya menyelesaikan isu pencemaran air yang berlaku di Planet Tandusia.

Dalam siri itu, BoBoiBoy menggunakan dua teknologi khas diberi nama HYDRA dan OACIS, kedua-duanya teknologi yang digunakan oleh Air Selangor dalam memastikan kualiti air paling tinggi.

BACA JUGA: Yaya ‘Boboiboy’ Dipilih Jadi Ikon Pelancongan Halal Jepun

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Monsta Faiz Zainal Aabidin berkata dalam era perubahan serba pantas ini, mereka perlu mengambil pendekatan lebih kreatif dan mengikut trend semasa untuk mendidik orang ramai tentang pentingnya sumber air bersih.

“Dengan itu, kami berharap kerjasama antara Air Selangor dan BoBoiBoy ini dapat menjadi inisiatif yang lebih mesra keluarga melalui penyampaian yang lebih proaktif,” katanya.

Siri tersebut disiarkan semalam sempena Hari Sungai Sedunia dan ia boleh ditonton di Youtube dan Facebook rasmi Air Selangor.

Selain itu, Air Selangor juga telah menambah baik platform kandungan sehenti Hydro Hub dengan menampilkan selebriti seperti Nabil Ahmad, Aishah Sinclair, Makcik Roastmah, dan Daniel Cheang yang akan membincangkan topik berkaitan melindungi dan memulihara air melalui Buku Panduan Air untuk semua rakyat Malaysia, menerusi siri Master Class Hydro Squad oleh Air Selangor.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.