Siakap Keli
selangor fc mutu pengadilan
Gambar: Selangor FC

Selangor FC Mohon Penjelasan, Minta FAM Siasat Mutu Pengadilan

Selangor FC Mohon Penjelasan, Minta FAM Siasat Mutu Pengadilan

Selangor FC dilaporkan sedang meneliti dan menjalankan siasatan dalaman berkenaan insiden yang berlaku ketika perlawanan Suku Akhir Kedua Piala Malaysia 2023 di Stadium MBPJ tempoh hari.

Selangor FC menerusi kenyataan yang dikeluarkan berkata bahawa pihaknya mengambil maklum berkenaan insiden yang berlaku dalam perlawanan tersebut.

Kelab bola sepak itu turut menzahirkan kekesalan terhadap insiden yang berlaku dan berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk sebarang siasatan.

“Kelab Bola Sepak Selangor menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk tindakan yang tidak menghormati semangat kesukanan oleh mana-mana pihak.

“Pihak kelab sedang meneliti dan menjalankan siasatan dalaman berkenaan insiden-insiden tersebut dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi sebarang siasatan,” tulisnya.

Dalam pada itu, Selangor FC juga turut menyatakan untuk mengemukakan laporan mutu pengadilan kepada pihak FAM untuk meminta penjelasan berhubung insiden terbabit.

“Pihak kelab percaya bahawa sebarang penjelasan perlu melalui saluran yang bersesuaian, oleh itu sebuah laporan mengenai mutu pengadilan perlawanan tersebut juga akan dikemukakan kepada FAM untuk pertimbangan sewajarnya,” tulisnya lagi.

Sementara itu, Selangor FC juga dilaporkan akan mengumumkan tindakan lanjut berdasarkan hasil siasatan yang telah dijalankan dalam masa terdekat.

Perlawanan yang berlangsung pada Ahad lalu telah dicemari dengan beberapa insiden yang menimbulkan kekecohan.

Perlawanan tersebut berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.

Selangor FC dijadualkan akan bertandang ke Terengganu pada Jumaat ini untuk perlawanan timbal balik bagi merebut tiket ke perlawanan separuh akhir.

Sumber: Selangor FC

Aqmal Ezany

I write what is right