Polis Tahan Lelaki, Disyaki Suspek Kes Bunuh Penyanyi Rap, Tupac Shakur 27 Tahun Lepas
Polis Amerika Syarikat menahan seorang lelaki di Las Vegas, yang disyaki terlibat dalam kes bunuh penyanyi rap terkenal, Tupac Shakur pada 1996.
Lelaki berkenaan ditahan awal pagi Jumaat, waktu tempatan. Bagaimanapun, setakat ini maklumat terperinci berkenaan tuduhan dikenakan terhadap lelaki itu tidak didedahkan.
Kes pembunuhan penyanyi rap berkenaan menjadi misteri sejak 27 tahun lepas. Malah, penyiasat juga menemui jalan buntu untuk menyelesaikan kes tersebut disebabkan kekurangan bukti.
Suspek disyaki terlibat kes bunuh Tupac Shakur ditahan
Laporan penahanan lelaki tersebut merupakan perkembangan terkini melibatkan kes berkenaan sejak sekian lama.
BREAKING: Las Vegas police have arrested a man over the shooting of hip-hop icon Tupac Shakur in 1996. pic.twitter.com/HVzwN42sSz
— Piers Morgan (@piersmorgan) September 29, 2023
Shakur yang menggunakan nama pentas 2Pac melancarkan album debutnya pada 1991. Sejak itu, mendiang meraih populariti sekelip mata dan banyak lagunya menjadi hit antaranya California Love, All Eyez on Me, Changes dan I Ain’t Mad at Cha.
Tupac dianggap sebagai individu penting yang mempengaruhi dan membawa nama komuniti West Coast Rap.
Mendiang meninggal dunia pada 13 September 1996, seminggu selepas ditembak empat das di dalam keretanya ketika berhenti di lampu isyarat merah.
Ketika kejadian, Shakur baru berusia 25 tahun. Di peringkat awal, ramai yang berteori bahawa pembunuhan mendiang mungkin berpunca daripada persaingan antara dua komuniti rap, East Coast dan West Coast.
Shakur yang berjaya menjual sebanyak 75 juta rekod di seluruh dunia diabadikan dalam Rock & Roll Hall of Fame pada 2017.
Sedikit latar belakang Tupac Shakur
Tupac Shakur atau nama sebenarnya Lesane Parish Crooks lahir pada 16 Jun 1971. Ibunya, Afeni Shakur atau nama sebenar, Alice Faye Williams merupakan seorang aktivis politik yang aktif dalam Black Panther Party.
Ketika berusia satu tahun, mendiang dinamakan semula dengan nama Tupac Amaru Shakur oleh ibunya bersempena nama seorang revolusioneri asal Peru, bernama Túpac Amaru II.
Tupac banyak menghabiskan masa kecilnya dengan berpindah randah dari satu sekolah ke satu sekolah yang lain. Kemudian, ketika meningkat remaja, Tupac terlibat dalam aktiviti jalanan yang banyak membentuk peribadinya.
Pengalaman-pengalaman di jalanan turut mempengaruhi dan menjadi subjek dalam penulisan karya-karya terkenal mendiang.
BACA: Murid 11 Tahun Maut Ditimpa Palang Gol Ketika Aktiviti Kokurikulum
Sumber: Sky Sport, BBC, Britannica