Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Polis Tahan Dua Lelaki Curi Peti Wang, Telefon Bimbit Peniaga Nasi Lemak

Adib Haiqal
Polis tahan
Kredit: Bernama

Polis Tahan Dua Lelaki Curi Peti Wang, Telefon Bimbit Peniaga Nasi Lemak

Polis Daerah Ipoh berjaya menahan dua lelaki tempatan yang terlibat dalam kes kecurian sebuah peti wang dan telefon bimbit milik seorang peniaga nasi lemak di Jalan Lebuh Meru Raya, Ipoh yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Muhammad Najib Bin Hamzah berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 21 Mei 2026 kira-kira jam 12.00 tengah hari apabila mangsa yang sedang berniaga didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal dengan alasan untuk membeli makanan.

"Ketika mangsa sedang sibuk membungkus nasi, suspek bertindak mengambil sebuah peti wang mengandungi wang tunai dan sebuah telefon bimbit sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

"Kedua-dua suspek lelaki tempatan berumur 24 dan 36 tahun itu berjaya ditangkap pada 8 Jun 2026 di Teluk Intan bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes kecurian tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, serta beberapa kes jenayah lain di sekitar daerah Ipoh.

Menurutnya lagi, kedua-dua suspek telah direman sehingga 12 Jun 2026 bagi membantu siasatan dan kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, pihak Polis Daerah Ipoh merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat dan memberi kerjasama dalam membantu siasatan sehingga membawa kepada penahanan suspek.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta memastikan barang berharga disimpan di tempat yang selamat bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa jenayah.