Siakap Keli
emas speedy tigers
Kredit: BERNAMA

Sukan Asia: Impian Emas Speedy Tigers Berkecai

Sukan Asia: Impian Emas Speedy Tigers Berkecai

HANGZHOU, 2 Okt (Bernama) — Impian skuad hoki lelaki negara untuk meraih pingat emas sulung Sukan Asia berkecai apabila gagal melayakkan diri ke separuh akhir setelah terikat 4-4 menentang tuan rumah, China di Stadium Gongshu Canal Sports Park, malam ini.

Aksi terakhir Kumpulan B yang penuh dramatik itu, menyaksikan China muncul juara kumpulan dengan rekod tanpa kalah selepas meraih 13 mata untuk bertemu juara bertahan Jepun pada separuh akhir, Rabu ini.

Malaysia, yang berada di kedudukan ketiga dengan 10 mata dibelakang Korea Selatan (12 mata) terpaksa beraksi di perlawanan klasifikasi 5-6 menentang Pakistan, Jumaat ini.

Malaysia, yang menduduki ranking ke-10 dunia, memulakan kempen dengan baik apabila membelasah Thailand 9-0, Oman 11-1 dan Indonesia 9-2 namun slot ke separuh akhir menjadi tanda tanya selepas tewas tipis 4-3 kepada Korea Selatan, kelmarin.

Turun dengan misi wajib menang pada aksi hidup mati itu, Malaysia memulakan serangan sebaik wisel permulaan namun China yang terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi pukulan sudut penalti Gao Jiesheng.

Skuad kendalian Arul Selvaraj bijak memperdayakan pertahanan China untuk menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-18 di hadapan lebih 4,000 penyokong tuan rumah.

Pasukan di ranking ke-22 dunia, China tidak mengambil masa lama untuk kembali mendahului menerusi pukulan sudut penalti Chen Qijun seminit kemudian sebelum jaringan padang Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-25 mengikat kedudukan.

BACA: Speedy Tigers Laung Amaran Awal Dengan Belasah Thailand 9-0

Bersambung suku ketiga, skuad Speedy Tigers mendahului buat kali pertama apabila Muhammad Najmi Farizal Jazlan melengkapkan pukulan sudut penalti pada minit ke-35 tetapi China segera menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti Pan Dongquan selang seminit kemudian.

Mohd Amirul Hamizan Azhar kembali meletakkan skuad negara di hadapan menerusi pukulan sudut pada minit ke-40 sebelum China sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Zhu Weijiang, tiga minit kemudian.

Skuad Speedy Tigers mendapat peluang keemasan untuk menjaringkan gol kemenangan apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti 40 saat sebelum wisel penamat, namun peluang itu disia-siakan menyaksikan keputusan terikat 4-4.

Keputusan itu juga menyaksikan Malaysia turut terlepas slot automatik untuk ke Olimpik Paris 2024 selaku juara Sukan Asia tetapi memilih laluan sukar menerusi pusingan kelayakan yang bakal diadakan pada Januari depan.

Bercakap kepada pemberita selepas aksi berkenaan, Arul, yang kecewa dengan keputusan tersebut, berharap untuk menamatkan kempen di kedudukan terbaik bagi mendapatkan slot ke pusingan kelayakan itu.

“Kemahuan nak menang itu memang ada tetapi ada kesilapan yang ketara dari segi hantaran bola jauh, setiap kali mereka (China) masuk ke D (kotak penalti), mereka dapat sesuatu. Pada kejohanan ini pun kita dapat lihat benteng pertahanan agak merisaukan.

“Kita tidak boleh behenti di sini dan perlu mendapatkan kedudukan terbaik dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam. Sukan Asia ini hanya empat atau lima pasukan akan layak ke kejohanan pusingan kelayakan itu…jadi kita perlu berada di kedudukan yang terbaik,” katanya.

Pencapaian terbaik Speedy Tigers di Sukan Asia adalah kejayaan meraih perak pada edisi 2010 di Guangzhou, China dan 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Setakat ini, tuan rumah Perancis, juara Piala Oceania, Australia dan juara Kejohanan Eropah, Belanda telah mengesahkan tempat ke Olimpik Paris 2024.

Mereka akan disertai oleh juara benua Asia, Afrika dan Pan Amerika serta tiga pasukan teratas masing-masing dari dua kejohanan pusingan kelayakan yang bakal berlangsung di Muscat, Oman dan Valencia, Sepanyol, Januari depan.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana