Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan (PTWDS) 2026-2030

Syamimi
MAJLIS

Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan (PTWDS) 2026-2030

YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan hari ini secara rasmi telah meluncurkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan (PTWDS) 2026-2030 di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil bersempena dengan Seminar Wanita Dalam Sukan Peringkat Kebangsaan 2026.

Pelan komprehensif ini dirangka khusus sebagai rujukan strategik negara bagi memperkasa penglibatan, pembangunan dan kepimpinan wanita dalam landskap sukan tanah air agar lebih inklusif, adil, seimbang serta progresif.

PTWDS 2026-2030 merupakan kesinambungan komitmen berterusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memastikan penglibatan dan penyertaan wanita dalam sukan diperkasakan.

Bagi memacu transformasi ini, pelan tersebut menggariskan lima teras strategik utama yang merangkumi keseluruhan 30 program pelaksanaan eksekutif, iaitu pengukuhan polisi dan tadbir urus, peningkatan profesionalisme, pemerkasaan penyertaan dan penglibatan, pemantapan penyelidikan dan pembangunan berasaskan data serta peluasan promosi dan advokasi rentas sektor.

Melalui pelaksanaan pelan tindakan ini, KBS menetapkan lima sasaran utama yang jelas untuk dicapai menjelang tahun 2030. Antaranya termasuklah meningkatkan penglibatan jurulatih wanita kepada 30 peratus, melonjakkan penyertaan pegawai teknikal wanita sehingga 35 peratus serta memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita memegang jawatan tertinggi di dalam Badan Sukan Kebangsaan.

Di samping itu, pelan ini turut menyasarkan skor Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM) bagi wanita melebihi tahap 55, berserta sasaran penyelesaian aduan sukan selamat secara berintegriti mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus.

YB Dr. Mohammed Taufiq Johari menegaskan bahawa Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan 2026-2030 bukan sekadar sebuah dokumen strategi, tetapi merupakan manifesto komitmen jitu KBS dalam merekayasa ekosistem sukan negara.

Beliau menjelaskan bahawa acuan masa hadapan sukan Malaysia perlulah inklusif dan selamat bagi melahirkan lebih ramai atlet wanita berprestasi tinggi, barisan jurulatih berkaliber, serta pemimpin sukan yang kompeten untuk bersaing di peringkat global.

Pelaksanaan pelan ini akan dipantau secara berskala oleh KBS menerusi pendekatan kolaborasi menyeluruh (whole-of-nation) demi memastikan impak yang berterusan terhadap pembangunan modal insan dan perpaduan negara.