Siakap Keli
Kerja sambil belajar
Kredit Siakap Keli

Nekad Mahu Ubah Kehidupan, Lelaki Ini Gigih Lakukan Pelbagai Kerja Sambil Sambung Belajar Di Peringkat ‘Master’

Nekad Mahu Ubah Kehidupan, Lelaki Ini Gigih Lakukan Pelbagai Kerja Sambil Sambung Belajar Di Peringkat ‘Master’

Setiap orang yang hidup di atas muka bumi ini, pasti mempunyai cita-cita dan impian yang mahu dicapai. 

Segala cita-cita dan impian yang baik itu semestinya perlu dilakukan dengan gigih dan tekad yang tinggi. 

Demikianlah seperti lelaki ini yang dikenali sebagai Rajimin Bin Kontak atau nama komersialnya ‘Uncle Black’, berusia 34 tahun yang gigih mengejar cita-citanya. 

Siapa sangka, di sebalik kesibukan menimba ilmu di peringkat Sarjana dalam jurusan Komunikasi Visual dan Media Baharu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, beliau turut mencari rezeki sebagai pelukis mural & ilustrasi?

Biarpun penat mental dan fizikal, namun ‘alah bisa tegal biasa’, semua cabaran itu ditempuh demi kotakan janji dengan ibunya bahawa dia mahu mengubah masa depan keluarga.

Menurut Rajimin, segalanya bermula selepas dia dan ibunya berborak kosong berkenaan nasib keluarga dan impiannya untuk melanjutkan pelajaran. 

Kredit Siakap Keli

Difahamkan, Rajimin yang berasal dari Lahad Datu, Sabah merupakan anak bongsu dalam keluarga yang berlatarbelakangkan kehidupan yang susah. 

“Faktor kemiskinan yang membuatkan saya mahu mencari ilmu. Perjanjian dengan mak saya adalah waktu dia kata mahu tengok salah seorang anaknya melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi,” cerita Rajimin. 

Selepas berkongsikan serba sedikit perjalanan pendidikanya, Rajimin juga sempat bercerita tentang bagaimana beliau mula menceburi bidang melukis mural. 

Kredit Siakap Keli

Rajimin berkata, bidang seni melukis adalah sesuatu yang sangat diminatinya sejak dari bangku sekolah lagi.

Difahamkan beliau mula berjinak-jinak dengan seni lukisan selepas dipelawa oleh salah seorang sahabatnya untuk melukis mural.

Penangan tangan seni: melukis boleh, fotografi pun boleh

Walaupun lima jemarinya begitu ‘lembut’ mengalun berus lukisan di dinding, namun jangan terkejut bahawa jari yang sama juga mampu membidik rakaman visual dengan begitu profesional.

Menurut Rajimin, sebelum ini beliau sangat aktif dalam bidang fotografi, videografi dan bermacam-macam lagi ketika masih ‘tercari-cari’ arah minat yang ditujukan atas landasan mencari rezeki.

“Saya bekerja macam-macam, freelance. Sebelum ni saya ada buat photographer, videographer dan illustration. Waktu itu, saya masih belum menjumpai minat yang saya mahukan. 

“Lepas terlibat sebagai muralis dan ilustrator, saya suka dan teruskan kerja ini,” kongsi Rajimin lagi. 

Cabaran belajar + bekerja

Dalam pada itu, apabila disoal berkenaan cabaran yang dihadapinya sewaktu bekerja sambil belajar, katanya, cabaran utama dihadapi adalah masa dan pelanggan.

Daripada segi menguruskan pelanggan, Rajimin menjelaskan bahawa beliau harus mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama pelanggan untuk perkhidmatan yang ditawarkannya.

Kredit Siakap Keli

Client macam mana kita nak deal dengan client. Nak bagi client tu percaya dengan kita bukan mudah. 

“Masa pun sama, saya bekerja sambil belajar di UiTM Shah Alam. Kadang lepas kerja dan badan penuh cat terus pergi kelas. Ada juga pensyarah tanya dan mujur mereka faham. 

“Waktu Covid-19 dulu sangat tercabar, di mana kita tak ada kerja dekat luar. Hanya buat kerja ilustrasi dari rumah semata,” cerita Rajimin lagi. 

Tambah Rajimin, insan yang memberi inspirasi atau penguat dalam melanjutkan pelajaran sambil bekerja semestinya ialah emaknya sendiri. 

“Inspirasi sememangnya mak saya. Dia terlalu penting untuk saya sampai ke tahap ini. Mak saya dia keluarkan duit Tabung Haji RM700 untuk saya sambung belajar.

“Saya mahu ubah kehidupan saya dengan pendidikan,” tambah Rajimin berkongsi berkenaan inspirasi terbesar dalam hidupnya. 

Sewaktu sesi temu bual SK dengan Rajimin, jelas dapat dilihat bahawa beliau sangat mementingkan pendidikan untuk mengubah kehidupannya. 

Beliau juga merupakan seorang yang sangat positif dalam mencapai cita-cita dan impiannya. 

Untuk ketahui lebih lanjut kisah inspirasi Rajimin boleh tonton video di bawah ini:

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka