Siakap Keli
Penyakit X mudah tersebar
Kredit AFP

Penyakit X Dijangka Lebih Mudah Tersebar, Mengancam Nyawa Seperti Ebola – KKM

Penyakit X Dijangka Lebih Mudah Tersebar, Mengancam Nyawa Seperti Ebola – KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini telah menjelaskan berkenaan ”Penyakit X’ yang mungkin akan menjadi ancaman wabak terbaru.

Penyakit X adalah istilah yang digunakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2018 lalu yang merujuk kepada sejenis patogen yang tidak diketahui.

Menurut KKM, istilah penyakit X digunakan bagi menggalakkan peralihan tumpuan penyelidikan dari strain virus tunggal ke arah pengkelasan virus yang lebih menyeluruh.

Seterusnya akan memperkukuhkan kapasiti global dalam kesiapsiagaan dalam menghadapi patogen yang belum dikenal pasti tersebut.

Selain itu, WHO juga menekankan keperluan perancangan yang fleksibel dan pemantapan kesiapsiagaan bagi menghadapi gelombang Penyakit X tersebut.

Kemunculan penyakit-penyakit seperti SARS, MERS, Ebola, dan COVID19 sepanjang tiga dekad yang lepas telah membawa ancaman berterusan kepada kesihatan dan ekonomi dunia.

“Faktor-faktor seperti perubahan iklim, ekosistem, dan urbanisasi telah menyumbang kepada risiko peningkatan wabak pada masa akan datang. Untuk mengatasi ancaman ini, WHO menekankan kepentingan proses saintifik yang telus dalam kajian asal usul virus,” tulis KKM lagi. 

Walaupun ciri-ciri Penyakit X masih belum dikenal pasti, namun pakar-pakar kesihatan telah menyuarakan kebimbangan mereka berkenaan impak penyakit itu.

Difahamkan, Penyakit X dijangka akan mudah tersebar seperti campak dan mungkin akan mengancam nyawa seperti Ebola.

Penularan Penyakit X dikatakan boleh berlaku dari pelbagai sumber termasuklah jangkitan daripada haiwan.

Kadar penyebaran Penyakit X akan semakin meningkat seiring dengan peningkatan kontak manusia dan haiwan. Ditambah dengan pergerakan manusia merentas negara yang semakin mudah sekarang,” tambah kenyataan KKM lagi. 

Pelan pandemik perlu dirangka segera bagi berhadapan penularan wabak

Bagi mendepani penularan wabak ini, pelan pandemik yang komprehensif, perluasan kempen vaksinasi dan penyediaan peruntukan khas telah disarankan oleh WHO.

Begitu juga dengan pemantauan berterusan, tindakan proaktif, penggunaan antibiotik yang rasional, langkah-langkah kawalan, dan kerjasama antarabangsa.

“Pendekatan “One Health” yang menekankan hubungan antara manusia, haiwan dan kesihatan alam sekitar adalah komponen yang penting,” jelas KKM lagi. 

Sementara itu, penjagaan kesihatan oleh individu dengan mengamalkan gaya hidup sihat juga penting dalam bersiap sedia terhadap Penyakit X tersebut.

BACA: “Tak Tahu Boleh Dapat RM500” Lelaki Bongkar ‘Rahsia’ Bayaran Kat Cashier Mydin

KKM juga berkata bahawa, mereka sentiasa bersiapsiaga dan berwaspada terhadap kemungkinan kemunculan Penyakit X tersebut.

Sistem kesihatan negara juga sentiasa diperkukuhkan sebagai persediaan menghadapi sebarang ancaman kesihatan yang mungkin berlaku,” terang KKM berkenaan persediaan menghadapi penularan penyakit tersebut. 

Walau bagaimanapun, KKM turut berpendapat bahawa walaupun terdapat kebimbangan penularan penyakit itu, orang ramai masih diminta untuk bertenang.

Orang ramai sentiasa dinasihatkan supaya mengikuti garis panduan kesihatan, mengamalkan kesihatan yang baik. Serta sentiasa mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan penyakit ini,” akhiri kenyataan tersebut. 

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka