Siakap Keli
peraturan cermin gelap
Gambar: BERNAMA

Langgar Peraturan Cermin Gelap, Boleh Didenda Tak Lebih RM 2k Atau Penjara Tak Lebih 6 Bulan

Langgar Peraturan Cermin Gelap, Boleh Didenda Tak Lebih RM 2k Atau Penjara Tak Lebih 6 Bulan

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai agar tidak melanggar peraturan cermin gelap yang dikuatkuasakan selama ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi, mereka yang melanggar peraturan tersebut boleh berdepan hukuman denda atau penjara jika disabitkan bersalah.

Pemandu atau pemilik kenderaan yang disabitkan bersalah boleh didenda tidak melebihi RM 2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama.

Bagi sabitan berikutnya pula, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 4,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.

”JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada pemandu atau pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan cermin gelap,” kata kenyataan itu.

Oleh itu, JPJ menasihatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi peraturan-peraturan sedia ada yang telah ditetapkan.

Berdasarkan peraturan yang ditetapkan sebelum ini, Kadar Ketelusan Cahaya (VLT) bagi cermin kenderaan yang dibenarkan adalah cermin kenderaan hadapan (70 peratus), cermin sisi kiri kanan (50 peratus) dan cermin sisi kiri kanan belakang dan cermin belakang (0 peratus).

Walau bagaimanapun, mana-mana individu atas faktor kesihatan dan keselamatan boleh memohon kelulusan untuk menggunakan cermin gelap kepada JPJ.

”Sehingga kelulusan diperolehi, mana-mana individu hendaklah mematuhi peraturan yang dikuatkuasa,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut rekod, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 108,428 notis kesalahan yang melibatkan cermin gelap sejak 2019. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 17,218 telah disaman melibatkan kesalahan cermin gelap.

Orang ramai juga digalakkan untuk membuat laporan secara terus sekiranya melihat ada kenderaan yang melakukan kesalahan melanggar peraturan cermin gelap.

Aduan boleh dibuat secara langsung melalui e-Aduan@JPJ melalui aplikasi MyJPJ.

”JPJ sentiasa berusaha menguatkuasakan undang-undang dan peraturan-peraturan jalan raya bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan terpelihara.”

BACA: Ramai Tak Jangka, Ini ‘Bencana’ Menanti Jika Talian Internet Tiba-tiba Hilang Di Seluruh Dunia

BACA: “Tak Sangka Seumur Hidup Dapat Pakai Kereta Baru”, Ayah Sebak, Anak Hadiahkan Proton X50

 

Sumber: JPJ

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma