Siakap Keli
suami kekal suami isteri
Kredit: BERNAMA

Mahkamah Putuskan Suami Dakwa ‘Dimadukan’ Isteri, Masih Kekal Suami Isteri

Mahkamah Putuskan Suami Dakwa ‘Dimadukan’ Isteri, Masih Kekal Suami Isteri

TANAH MERAH, 8 Okt (Bernama) — Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini memutuskan seorang peniaga bersama isterinya yang didakwa mempunyai dua suami, masih kekal sebagai suami isteri yang sah.

Hakim Ahmad Hariri Mohd Saad membuat keputusan itu selepas individu itu, 47, membuat sumpah penafian bahawa beliau tidak pernah menceraikan isterinya, 32, dengan talak tiga seperti yang didakwa, sebelum ini.

“Dengan lafaz sumpah ini, mahkamah memutuskan defendan dan plaintif masih suami isteri yang sah kecuali plaintif hadir semula ke mahkamah dengan bukti baharu,” kata hakim itu.

Pada prosiding pengesahan lafaz cerai tersebut, individu itu diwakili peguam Marzuqi Muhamad manakala isterinya tidak diwakili peguam.

Namun, si isteri tersebut tidak hadir pada prosiding hari ini.

BACA: Suami Nekad Botakkan Kepala, “Support” Isteri Tersayang Lawan Sakit Kanser

Si isteri itu sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa suaminya pernah melafazkan cerai talak tiga ke atasnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Okt depan untuk satu lagi kes lain membabitkan permohonan cerai yang difailkan oleh wanita itu terhadap suaminya.

Media sebelum ini melaporkan pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 2 Jan 2019 di Narathiwat, Thailand dan disahkan mengikut hukum syarak oleh mahkamah tersebut pada 6 Jun lalu serta didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.

Bagaimanapun individu berkenaan mendapat maklumat daripada pihak Pejabat Agama Shah Alam, Putrajaya bahawa isterinya sudah berkahwin lagi dengan seorang lelaki lain, 42, menyebabkan dirinya memfailkan perintah faraq nikah terhadap perkahwinan pasangan itu.

Pada 7 Ogos lepas, mahkamah memutuskan perintah faraq nikah sementara ke atas wanita itu dan lelaki tersebut sehingga kes pengesahan lafaz cerai antara wanita itu serta suaminya selesai sebelum meneruskan semula kes tuntutan faraq nikah berkenaan.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana