Putera Mateen Berkahwin Januari Tahun Depan
Sultan Brunei Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah bakal melangsungkan perkahwinan bersama Dayang Anisha Rosnah binti Adam pada awal tahun depan.
Menerusi RTB News, perkahwinan tersebut akan berlangsung lebih daripada lima hari bermula 7 Januari 2024 hingga 15 Januari 2024.
“Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan ini Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara memaklumkan bahawa insya-Allah dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan mengadakan Istiadat Perkahwinan Diraja bagi Paduka Anaknda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dengan Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah binti Adam,” memetik kapsyen tersebut.
Perkahwinan diraja akan dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari dan diikuti dengan Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga pada keesokan harinya.
BACA: Kenali Koleksi Kereta-kereta Mewah Milik Sultan Brunei, Nilainya Jauh Lebih Mahal Dari Kelab Man Utd
Manakala, pada 9 Januari pula, Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja dan Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja akan diadakan.
Majlis tersebut akan diteruskan dengan Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja pada 10 Januari dan Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada 11 Januari.
Kemudian pada 14 Januari pula, Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja diadakan, diikuti dengan Majlis Persantapan Diraja pada 15 Januari.
Majlis itu akan diakhiri dengan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari.
Putera Brunei berusia 32 tahun itu merupakan anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz.
Sementara itu, Dayang Anisha Rosnah pula merupakan cucu kepada penasihat khas Sultan Brunei, iaitu Pehin Datuk Isa.
Sumber: rtbnews/Instagram
BACA: Tamat Latihan & Dikurnia Beret Hijau Dari UK, Putera Mateen Kini Bergelar Anggota Komando