Siakap Keli
kampung cina terengganu
Kredit: Beautiful Terengganu

Kampung Cina Terengganu Bakal Dijenama Semula Sebagai ‘China Town’

Kampung Cina Terengganu Bakal Dijenama Semula Sebagai ‘China Town’

KUALA TERENGGANU, 10 Okt (Bernama) — Kerajaan Terengganu akan menjenamakan semula Kampung Cina di sini, kepada China Town dalam usaha menarik lebih ramai pelancong termasuk dari luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris berkata pihaknya, akan mengadakan perbincangan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Cina dalam masa terdekat, untuk membincangkan pelbagai perkara termasuk aspek pembaharuan selaras dengan usaha penjenamaan semula lokasi berkenaan.

Beliau berkata penggunaan nama China Town yang bersifat antarabangsa, dilihat lebih komersil dan dijangka mampu menarik kunjungan pelancong antarabangsa ke Terengganu.

“Kita rancang nak jenamakan semula Kampung Cina kepada China Town kerana ia ada di mana-mana. Di Kuala Lumpur… bahkan serata dunia. Kalau kita jenamakan China Town dan jadikan satu produk dalam kalendar pelancongan, mungkin pelancong dari Eropah akan datang.

“Kita perlu mengantarabangsakan produk lokal. Kalau bercakap pasal Kampung Cina, sampai bila dia (Kampung Cina) nak kekal macam tu sahaja,” katanya pada Pesta Peranakan Cina Terengganu 2023 di sini, malam tadi.

Turut hadir Penasihat Persatuan Peranakan Cina Terengganu Alex Lee Yun Ping.

BACA: Ramai Sebak Tonton Majlis Pernikahan Tular Pasangan Melayu Dan Cina Ini

Razali berkata selain menjenamakan semula Kampung Cina, kerajaan negeri juga merancang untuk membangunkan Kampung Fikri di Setiu dan Kampung Tiruk di Marang, sebagai lokasi Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) pada tahun depan.

Beliau berkata selain Kuala Terengganu, kedua-dua lokasi berkenaan turut memiliki populasi penduduk berketurunan Cina Peranakan, yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan baharu negeri.

“Kita nak cuba gunakan kekuatan yang ada daripada segi seni budaya dan warisan dalam kalangan Cina Peranakan di Terengganu, kerana mereka memiliki keunikan seperti makan menggunakan tangan, budu dan belacan sebagai makanan harian, dan rumah pun seperti orang Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, Razali berkata pelancong bukan Islam tidak perlu takut untuk datang ke Terengganu, disebabkan pelaksanaan Garis Panduan Pelancongan yang merangkumi etika pemakaian.

Beliau berkata garis panduan berkenaan tidak melibatkan masyarakat bukan Islam dan ia juga bukanlah satu bentuk undang-undang yang bersifat menghukum secara total.

“Kerajaan buat garis panduan ini untuk mendidik, supaya masyarakat menjaga etika pemakaian mengikut budaya kita.

“Sejak garis panduan ini dilancarkan pada 2020, belum ada seorang individu pun ditangkap atau dikenakan hukuman, kerana tujuan asal kita ialah untuk mendidik,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana