Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Menteri Agama Kongsi Pengalaman Lawat Pusara Ahmad Ammar Di Turki
Baru-baru ini tular video yang memaparkan Menteri Agama, Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berada di Kota Istanbul, Turki.
Dalam klip yang dikongsikan olehnya di akaun TikTok, @dsdrnaim, beliau melawat pusara seorang anak muda yang pernah menjadi sebutan suatu ketika dahulu, Ahmad Ammar Ahmad Azam.
Beliau menceritakan kisah Allahyarham, seorang remaja hebat dari Malaysia yang dimakamkan di kuburan sahabat-sahabat nabi.
“Alhamdulillah, saya selamat sampai di makam kuburan anak muda, anak kepada Datuk Ahmad Azam, mantan Presiden ABIM.
“Allahyarham telah terlibat dalam kemalangan dalam usia yang agak muda pada tahun 2013, ketika dalam perjalanan untuk mengajar pelajar-pelajar Asian yang baru sampai di bumi Istanbul ini,” katanya dalam video tersebut.

Tambahnya, beliau berharap semangat dan perjuangan Allahyarham akan dihayati oleh golongan belia dan anak-anak muda yang berada di Malaysia.
“Perjuangannya, usaha yang dibuat dalam bahagian dakwah, dalam agama dan membantu orang lain, membantu mereka yang susah dalam kehidupan mereka.
“Semangat dan roh perjuangan beliau ini akan dapat dihayati oleh anak-anak muda di Malaysia dan juga di serata dunia, Insya-Allah,” ujarnya lagi.

Ahmad Ammar Ahmad Azam merupakan seorang pemuda yang merantau ke bumi Eropah untuk menuntut ilmu namun ditakdirkan meninggal dunia dalam usianya yang sangat muda (20 tahun) setelah menjadi mangsa kemalangan jalan raya.
Difahamkan, pada pagi kejadian, Ammar keluar menuju rumah pelajar-pelajar baru dari Asia Tenggara dengan semangat untuk berkongsi ilmu dan bermuzakarah Rasail Nur karangan Imam Bediuzzaman Said Nursi.
Beliau meninggal dunia pada tahun 2013 Awal Muharram di Istanbul, Turki sewaktu menuntut bidang Sejarah di Universiti Marmara dengan mendapat biasiswa Kerajaan Turki.
Semangat beliau untuk mendalami sejarah Uthmaniyyah dan melihat Kerajaan Islam kembali tertegak selari dengan cita-cita ayahanda dan bondanya. Sememangnya beliau dilahirkan di dalam keluarga yang mementingkan ilmu, ibadah, dakwah dan pengorbanan.
Ahmad Ammar merupakan pelajar yang sangat cemerlang SPM di RMC (Maktab Tentera Diraja) namun memilih menyambung pengajian di bidang Sejarah di Turki, bersama harapan dan perancangan kedua ibu bapanya
Juga, untuk menjadikan dirinya pemimpin negara kita yang pakar dalam sejarah khususnya Sejarah Uthmaniyyah, dan fasih bertutur di dalam bahasa Turki serta mendapat pendidikan di sana.
Malahan, pada usia semuda itu beliau telah menyertai pelbagai misi kemanusiaan di beberapa negara di dunia.
Alangkah bertuahnya ayahanda dan bonda beliau kerana dapat menyaksikan sendiri perjalanan terakhir seorang anak dengan pengakhiran yang baik.
Ribuan manusia memenuhi Masjid Abu Ayyub al-Ansari, malah dimakamkan berhampiran sahabat agung Rasulullah saw iaitu Abu Ayyub al-Ansari yang berjihad dalam angkatan pertama tentera kaum muslimin di dalam cubaan menakluk Kota Konstantinopel.
Seorang sahabat menulis, Ammar adalah “Muhajir” dan menjadi tetamu kepada Abu Ayyub al-Ansari.
Selepas meninggal dunia, nama Allahyarham menjadi sebutan bukan sahaja di negara di mana jasadnya dikebumikan iaitu di Turki, malah turut disebut-sebut dalam kalangan belia dalam negara.
Kematian beliau begitu dicemburui malah jenazahnya diberi pernghormatan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan yang menempatkan jasad 60 para syuhada yang juga sahabat-sahabat Nabi yang membebaskan Konstatinopel antaranya Abu Ayyub al-Ansari.
BACA: Iran Akan Adakan Perarakan Jenazah Raisi Di Tabriz Pada Selasa
Sumber: Dato’ Setia Dr. Naim via TikTok