Siakap Keli
pesta bola merdeka palestin
Kredit: ASEAN Football

Pestabola Merdeka 2023: Pasukan Palestin Sah Tarik Diri

Pestabola Merdeka 2023: Pasukan Palestin Sah Tarik Diri

Kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang bakal berlangsung tidak lama lagi nampaknya sedikit ‘kurang bersinar’ apabila pasukan Palestin disahkan terpaksa menarik diri.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat berdasarkan keadaan semasa yang melanda negara itu buat masa ini.

“Pasukan Palestin terpaksa menarik diri daripada menyertai edisi ke-42 ini kerana tidak dapat terbang ke Kuala Lumpur ekoran situasi tegang di negara berkenaan ketika ini,” kata FAM hari ini.

Sehubungan itu jelas FAM, sebaliknya hanya tiga negara sahaja yang bakal beraksi iaitu Malaysia, India dan Tajikistan, bagaimanapun format pertandingan adalah dikekalkan.

Difahamkan, berdasarkan jadual asal, Palestin dijadual bertemu Tajikistan (4.30 petang) manakala Malaysia berdepan India (9.00 malam) pada Jumaat, 13 Oktober 2023, yang mana dua pasukan yang tewas akan merebut tempat ketiga (4.30 petang).

Manakala dua pasukan yang menang akan ke peringkat akhir (9.00 malam) pada Selasa, 17 Oktober, dengan kesemua empat perlawanan tersebut di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Namun berdasarkan situasi terbaharu, Malaysia kekal akan bertemu India pada Jumaat, 13 Oktober (9.00 malam) di Stadium Nasional.

“Manakala Tajikistan kini mendapat ‘bye’ dan akan terus layak ke Final pada Selasa, 17 Oktober (9.00 malam) di Stadium Nasional untuk bertemu pemenang perlawanan Malaysia dan India.

“Ini bermakna, hanya satu perlawanan akan berlangsung pada Jumaat, 13 Oktober dan satu perlawanan pada Selasa, 17 Oktober iaitu tiada perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari tersebut,” tambah FAM lagi.

Sehubungan itu, jelas FAM, perubahan format tersebut adalah solusi terbaik yang telah dicapai dalam mesyuarat khas antara FAM selaku penganjur bersama pengurusan pasukan India dan Tajikistan pagi tadi.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kekangan masa berikutan penarikan diri oleh pasukan Palestin.

“Sementara itu, untuk bersikap adil kepada kira-kira 25,000 penyokong yang telah pun membeli tiket bagi menyaksikan kedua-dua hari perlawanan pada 13 dan 17 Oktober itu, FAM mengambil keputusan untuk mengekalkan harga tiket berkenaan (bagi semua kategori) biarpun kini membabitkan hanya satu perlawanan pada setiap hari perlawanan tersebut.

“Tiket-tiket masih boleh dibeli di https://bit.ly/tiketpestabola dan penjualan tiket hanya secara dalam talian iaitu tiada penjualan tiket secara fizikal di stadium pada hari perlawanan nanti,” tambah FAM lagi.

BACA:“Tak Tahu Boleh Dapat RM500” Lelaki Bongkar ‘Rahsia’ Bayaran Kat Cashier Mydin

Sumber: kenyataan media FAM

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka