Siakap Keli
pembeli motosikal elektrik rebat
Kredit: Bernama

Berita Baik, Beli Motosikal Elektrik Dapat Rebat RM2,400

Galak Orang Ramai Guna EV, Pembeli Motosikal Elektrik Layak Dapat Rebat Bernilai RM2,400

Pembeli motosikal elektrik bakal menikmati rebat berjumlah RM2,400, umum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2024 hari ini.

Tindakan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penerimaan rakyat terhadap kenderaan elektrik (EV).

Dalam pembentangan tersebut, beliau memaklumkan bahawa kerajaan akan terus membangunkan industri EV tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap EV.

Oleh itu, kerajaan turut memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik bagi merancakkan lagi penggunaan kenderaan tersebut.

Skim ini difahamkan terbuka bagi rakyat yang memiliki pendapatan tahunan sebanyak RM120 ribu ke bawah. Melalui skim ini, pembeli motosikal elektrik akan diberikan rebat bernilai RM 2,400.

Selain itu, kerajaan sangat mengalu-alukan pelaburan dari syarikat-syarikat bagi memasang pusat pengecasan EV di Malaysia.

“Kerajaan mengalu-alukan pelaburan melebihi RM 170 juta oleh syarikat terkemuka seperti TNB, Gentari dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan EV,” katanya lagi.

Tambahan lagi, kerajaan bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 atas perbelanjaan kemudahan pengecasan EV untuk tempoh empat tahun.

Manakala, potongan cukai bagi kos sewaan EV akan dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi.

Dalam pada itu, teknologi kenderaan elektrik juga dilaporkan bakal menyokong keperluan projek LRT3 yang dijangka dibuka pada 2025.

“Prasarana Malaysia Berhad bersetuju untuk memperoleh 150 bas elektrik dan membina 3 depoh bas dengan kos RM 600 juta,” tambahnya.

Selain daripada EV, Malaysia juga menggalakkan pemasangan panel solar untuk menjana tenaga elektrik

Untuk mencapai matlamat pelepasan sifar karbon, kerajaan juga mengemukakan inisiatif lain bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga yang diperbaharui dan tidak bersih.

Selain EV, kerajaan juga menggalakkan orang ramai untuk memasang panel solar pada premis kediaman masing-masing.

Dengan ini, pihaknya bersedia untuk untuk melanjutkan tempoh tawaran program Net Energy Metering (NEM) sehingga 31 Disember 2024.

Pada masa yang sama, Putrajaya akan dijadikan sebagai model bandar bebas karbon di Malaysia. Bagi mencapai matlamat tersebut, pihak kerajaan akan mula memasang panel solar pada premis kerajaan dengan kerjasama TNB dan Gentari.

”Pentadbiran Persekutuan juga akan mula menggunakan kenderaan elektrik sebagai kenderaan rasmi,” kata beliau.

BACA: Nak Elak Isu Remeh, Apa Kena Buat Kalau Pasangan Seorang Gamer? Sokong Atau Halang?

Sumber: Belanjawan 2024

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma