Siakap Keli
tmj padang bukit jalil

“Padang Patut Beri Lebih Masa, Biar Akar Kuat”, Respon TMJ Dengan Keadaan Padang Bukit Jalil

“Padang Patut Beri Lebih Masa, Biar Akar Kuat”, Respon TMJ Dengan Keadaan Padang Bukit Jalil

Malaysia hari ini turun menentang India dalam saingan Pesta Bola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). Selain mahu melihat aksi lincah pemain kebangsaan, rakyat Malaysia teruja untuk melihat permukaan baharu stadium berkenaan.

Sebelum ini, SNBJ menjalani kerja-kerja naik taraf permukaan padang iaitu penggantian jenis rumput kepada Zeon Zoysia.

Bagaimanapun, melihat keadaan permukaan padang malam ini yang agak tidak memuaskan, peminat bola sepak tertanya-tanya apakah yang berlaku.

Salah seorang peminat bola sepak mengajukan pertanyaan tersebut kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui platform X.

Pertanyaan berkenaan menarik perhatian pemilik kelab JDT itu yang kemudian menjawab pertanyaan tersebut.

Respon TMJ berkenaan keadaan padang di Bukit Jalil

“Padang itu sepatutnya diberikan lebih masa untuk akar dia (rumput) kuat. Macam padang Stadium Sultan Ibrahim.

”Tetapi pasukan kebangsaan hendak pakai secepat mungkin. Itu atas keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan stadium.

”Kalau saya, saya beri lebih masa. Sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan. Kontraktor ini kontraktor yang sama buat padang JDT,” kata TMJ.

 

Menurut TMJ lagi, perkara berkenaan sudah pun disebut semasa majlis penyerahan padang yang berlangsung pada Khamis.

”Semalam semasa majlis penyerahan padang saya cakap kepada semua yang padang ni perlu lebih masa kerana akar dia belum kuat.

”Saya juga sampaikan kepada semua yang berada di situ yang padang tersebut akan terkopak esok semasa perlawanan,” kata TMJ.

 

Terdahulu, Malaysia berjaya mencatatkan kemenangan 4-2 dalam aksi pertama kejohanan tersebut.

Biarpun keadaan padang tidak memuaskan, pasukan kebangsaan tidak berdepan sebarang masalah untuk menundukkan pasukan di ranking ke-102 dunia itu.

Gol-gol pasukan kebangsaan disumbangkan oleh Dion Cools, Arif Aiman, Faisal Halim dan Corbin Ong.

Manakala dua gol untuk pasukan India pula diperolehi menerusi penyudah Naorem Mahesh Singh dan Sunil Chhetri.

Pesta Bola Merdeka berlangsung bermula 13 hingga 17 Oktober ini melibatkan empat pasukan iaitu Malaysia, Palestin, Lebanon dan India.

Bagaimanapun, Lebanon menarik diri dan digantikan Tajikistan. Beberapa hari lepas, Palestin pula menarik diri  susulan ketegangan yang melanda negara itu sejak Sabtu lepas.

FAM dalam pada itu mengumumkan pihaknya mengekalkan format asal pertandingan. Justeru, Tajiskitan yang dijadualkan menentang Palestin dalam perlawanan pertama terus layak ke perlawanan akhir secara automatik.

Perlawanan akhir mencari juara akan berlangsung pada 17 Oktober, jam 9 malam, mempertemukan Malaysia menentang Tajikistan.

BACA: STR Dinaikkan Kepada RM 3,700, Bayaran Pertama RM 500 Dibuat Sebelum Ramadan

Sumber: Platform X TMJ

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma