Siakap Keli
Bayi maut hari kedua taska
Kredit: Bernama

Bayi Dua Bulan Maut Pada Hari Kedua Dihantar Ke Taska, Pengasuh Ditahan Polis

Bayi Dua Bulan Maut Pada Hari Kedua Dihantar Ke Taska, Pengasuh Ditahan Polis

Seorang bayi perempuan berusia dua bulan maut pada hari kedua dia dihantar ke sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya pada Selasa lepas.

Difahamkan, bayi perempuan tersebut dipercayai di bawah jagaan pengasuh di sebuah taska ketika menghembuskan nafas terakhirnya.

Memetik Astro Awani, Qaseh Aulia Faizul telah meninggal dunia pada hari kedua dia dihantar ke taska terbabit.

Bapa mangsa, Faizul Ali Adam berkata, dia menerima panggilan daripada pihak taska pada hari kejadian. Pihak taska memaklumkan bahawa Aulia sudah tidak sedarkan diri dengan muka pucat kebiruan dan telah dibawa ke hospital.

Selepas menerima panggilan tersebut, Faizul kemudian bergegas ke hospital berkenaan. Namun, kehadirannya disambut dengan berita duka apabila dirinya dimaklumkan bahawa anaknya sudah meninggal dunia.

“Pihak hospital mengesahkan Aulia sudah meninggal dunia dan kemudian dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematiannya.

“Pada Rabu (11 Oktober), proses bedah siasat dilakukan dan hasil bedah siasat belum dapat dikeluarkan kerana perlu menunggu keputusan analisis makmal.

“Namun pegawai perubatan menjelaskan, punca kematian berkemungkinan besar disebabkan oleh kegagalan pernafasan,” dakwa Faizul.

Seterusnya, Faizul mendakwa bahawa dirinya telah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska itu.

Menerusi rakaman tersebut, dia mendapati terdapat unsur kecuaian pengasuh dipercayai warga asing di premis terbabit ketika menjaga anaknya yang dalam keadaan berbedung.

Susulan itu, dia telah membuat laporan polis berhubung apa yang dilihatnya menerusi rakaman CCTV yang dipasang pada premis tersebut.

“Sesungguhnya kami reda akan pemergian bayi syurga ini, namun berasa kesal dan terkilan dengan cara pengendalian pengasuh.

“Pastinya, hasrat kami begitu besar, untuk memberi pengajaran dan dan kesedaran kepada pengasuh mahupun ibu bapa di luar sana untuk memastikan tahap keselamatan bayi atau kanak-kanak di tahap optimum,” ujarnya.

Faizul dan keluarganya turut menyeru orang ramai untuk menyebarkan berita berkenaan kematian bayinya agar dapat memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Bersama-sama kita meningkatkan tahap kesedaran dan membina masyarakat yang mengutamakan keselamatan bayi mahupun kanak-kanak,” jeasnya.

Pengasuh telah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pengasuh berkenaan ditahan untuk disoal siasat bagi membantu siasatan.

Pengasuh yang berusia dalam lingkungan 40-an telah berkahwin dengan warga tempatan dan mempunyai anak kecil, lapor Astro Awani.

“Pihak polis menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung kejadian bayi meninggal dunia di taska berkenaan.

“Susulan itu, pengasuh yang berusia 40-an itu telah ditahan untuk dirakamkan percakapan namun dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama kerana suspek mempunyai anak kecil. Suspek berkahwin dengan orang tempatan,” jelasnya.

Tambah Mohamad Fakhrudin, seramai tiga individu termasuk ibu bapa mangsa telah dirakamkan percakapan setakat ini.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan… pihak polis masih menunggu keputusan bedah siasat bayi berkenaan.

Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan pihak polis mendapati taska berkenaan telah memiliki lima cawangan secara keseluruhan.

Manakala, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

BACA: Nak Elak Isu Remeh, Apa Kena Buat Kalau Pasangan Seorang Gamer? Sokong Atau Halang?

Sumber: Astro Awani, Sinar Harian

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma