Siakap Keli
Sanusi SPRM simpan beras
Kredit Sinar Harian

Sanusi Gesa SPRM Buat Lebih Banyak Serbuan, Tangani Isu Simpan Beras

Sanusi Gesa SPRM Buat Lebih Banyak Serbuan, Tangani Isu Simpan Beras

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menyatakan sokongannya terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu menyimpan beras, lapor Sinar Harian.

Sanusi memberikan sokongan kepada SPRM agar melakukan lebih banyak serbuan di kilang beras bagi membanteras penyelewengan yang berlaku di negeri tersebut.

Dalam masa yang sama, beliau juga memohon agar pasukan penguat kuasa itu bertindak lebih tegas dalam menangani isu tersebut.

“SPRM serbu lebih banyak kilang… berapa ada kilang di Kedah ini… Tengok kilang-kilang itu simpan beras berdasarkan permit atau tidak?

“Mana yang langgar peraturan tangkap, bungkus, tutupkan kilang itu… kena tegas, semua penguat kuasa kena tegas, serius dalam kerja ini,” katanya.

Perkara itu dijelaskan oleh beliau selepas ditemui media ketika hadir ke Himpunan Solidariti Rakyat Palestin di Dataran Zero Kilometer semalam.

Tambahnya, beliau berharap agar perkara itu diberikan perhatian sewajarnya kerana kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa penuh ke atas perkara tersebut.

“Saya tak ada kuasa nak arahkan tapi ada juga netizen pekak mana itu dia kata awat (kenapa) MB tak pi (pergi) check (periksa) sendiri.

“Kerajaan negeri tak ada kuasa itu, ia berada bawah KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) dan mereka sudah mula bertindak, saya ucap tahniah kepada MOA. Alhamdulillah akhirnya dia tahu macam mana bekerja,” katanya.

Difahamkan, sebanyak 67 buah kilang beras berada di Kedah dengan 15 daripada adalah milik Bumiputera, 41 bukan Bumiputera.

Manakala, selebihnya sebanyak 11 kilang adalah milik Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Bagaimanapun, sembilan daripada jumlah keseluruhan kilang itu adalah sudah tidak aktif.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak lima kilang di sekitar Kedah telah diserbu SPRM.

Serbuan itu dibuat susulan siasatan penyelewengan pemberian subsidi kepada petani yang menjual beras tempatan ke kilang yang dilesenkan itu.

Dalam pada itu, Sanusi juga berkata bahawa agensi di bawah KPKM juga perlu membuat kajian yang lebih terperinci.

Terutamanya mengenai sumber beras negara dan kemaskini keperluan negara dari semasa ke semasa.

Apabila krisis beras berlaku, Kedah sering dijadikan kambing hitam sedangkan kerajaan hanya memuji Selangor dan Pulau Pinang, katanya lagi.

BACA: “Tak Tahu Boleh Dapat RM500” Lelaki Bongkar ‘Rahsia’ Bayaran Kat Cashier Mydin

“Dia duk puji Sekincan dan Seberang Perai hasil beras yang banyak, tiba-tiba mai (datang) masalah beras tala kat Kedah. Ha baru dia tau, kena beri perhatian kepada rantaian beras, selesai tanam selesai tuai. Kementerian kena pastikan betul-betul ikut undang-undang.

“Jangan cari kambing hitam, itu semua kuasa kementerian, dua tahun saya cakap ada kartel dalam industri padi ini. Kartel ini buat macam-macam, pakat offer (tawar) mahal baru sedar ada penyorokkan jualan beras tempatan. Meletup depa turun harga, ada benda tak kena,” katanya.

Sehubungan itu, Sanusi berharap agar isu berkenaan tidak dipolitikkan dan ditangani secara berhemah dan profesional.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: