Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jati, jenama beras yang menjadi pilihan isi rumah di Malaysia sejak beberapa dekad lalu, kini melangkah ke pasaran snek tempatan yang kompetitif menerusi Jati Chom Chom.
Produk itu merupakan snek puff beras sedia dimakan yang diperbuat daripada beras tempatan dan menyasarkan pengguna kanak-kanak, remaja, golongan muda bekerja serta keluarga.

Transformasi itu menurut Serba Wangi Sdn Bhd, pengeluar dan pengedar beras di sebalik jenama Jati, dibuat ketika pengguna kini semakin mencari pilihan snek yang mudah, praktikal dan berbeza daripada produk konvensional berasaskan jagung, kentang serta gandum.
Pengarah Urusan Serba Wangi, Low Kok Kean berkata Jati Chom Chom merupakan satu pencapaian penting bagi Serba Wangi ketika syarikat terus meneroka potensi baharu untuk beras melangkaui penggunaan tradisional.
“Dengan mengubah beras tempatan kepada pengalaman snek yang menyeronokkan, ringan dan penuh rasa, kami mahu mendekati generasi pengguna baharu sambil menunjukkan bagaimana inovasi mampu membuka peluang baharu kepada bahan makanan yang sudah biasa digunakan,” katanya.

Dihasilkan di fasiliti yang diperakui Halal, HACCP dan standard antarabangsa sistem pengurusan keselamatan makanan ISO 22000:2018, Jati Chom Chom menawarkan tekstur ringan, rangup dan pelbagai pilihan rasa, selaras dengan komitmen syarikat terhadap aspek kualiti, konsistensi dan keselamatan makanan.
Produk itu menggabungkan citarasa tempatan dengan inovasi snek moden bagi memperkenalkan beras dalam format yang lebih dekat dengan cita rasa generasi muda.
Produk yang dilancarkan secara rasmi di Old Malaya, Kuala Lumpur semalam, telah disempurnakan oleh DYTM Che Puan Muda Zaheeda Binti Mohamad Ariff, Tuanku Raja Puan Muda Kedah. Lokasinya sinonim dengan budaya tempatan, makanan, komuniti dan warisan.

DYTM Che Puan Muda Zaheeda bertitah inovasi seperti Chom Chom bukan sahaja menghasilkan produk baharu, malah merangsang permintaan terhadap beras tempatan, sekali gus meningkatkan pendapatan petani dan memperkukuh ekosistem beras negara.
"Inilah impak sebenar yang perlu kita raikan, iaitu bagaimana inovasi menghubungkan keseluruhan rantaian nilai beras, daripada sawah padi hingga ke pasaran.
"Langkah yang diambil oleh Serba Wangi mencerminkan keberanian untuk terus berinovasi sambil kekal berpaksikan kekuatan serta warisan sektor pertanian negara," titah baginda.
Penyertaan Jati dalam kategori snek turut mencerminkan trend dalam kalangan syarikat makanan tempatan yang semakin mengembangkan jenama masing-masing ke kategori pengguna baharu, seiring peningkatan budaya snek sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian.

Bagi Jati, langkah berkenaan turut mencerminkan kesinambungan usaha syarikat dalam aspek inovasi makanan, pembangunan produk dan penambahbaikan kualiti, melangkaui penawaran tradisional beras.
Jati Chom Chom ditawarkan dalam dua pilihan perisa iaitu Tomato dan Keju, dengan harga bermula RM1.99 bagi pek 60 gram serta RM3.79 bagi multipack 112 gram, bergantung kepada lokasi jualan dan promosi semasa.
Ketika ini, produk tersebut boleh didapati di cawangan terpilih Lotus’s, Giant dan AEON di seluruh negara, dengan pengedaran diperluaskan secara berperingkat ke saluran perdagangan umum bagi meningkatkan capaian pengguna di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Jati Chom Chom memperkenalkan pendekatan baharu terhadap penggunaan beras tempatan menerusi produk snek yang lebih mesra generasi muda, mudah diperoleh dan mampu milik, disokong oleh kekuatan jenama Jati serta komitmennya terhadap inovasi dan kualiti produk.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak yang hadir pada majlis tersebut berkata masa depan sektor pertanian Malaysia tidak lagi tertumpu semata-mata kepada pengeluaran, sebaliknya kini bergantung kepada inovasi, penjenamaan, penciptaan nilai dan peluasan pasaran.
“Saya amat berbangga untuk berkongsi bahawa Chom Chom diperkenalkan sebagai “Snek Beras Putih Pertama di Malaysia”. Ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa!”
“Produk seperti Chom Chom menunjukkan bagaimana beras tempatan boleh berkembang melangkaui penggunaan tradisional kepada produk moden yang mempunyai potensi komersial lebih luas,” katanya.