Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Terbuka Artik: Zii Jia Tamat Kemarau 17 Bulan Tanpa Gelaran
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) — Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia boleh tersenyum lebar apabila akhirnya berjaya menamatkan kemarau 17 bulan tanpa sebarang gelaran selepas muncul juara kejohanan badminton Terbuka Artik 2023 di Vantaa, Finland, hari ini.
Pada aksi final di Arena Vantaa Energia, pemain ranking ke-14 dunia itu kembali berada di landasan sebenar selepas mengenepikan cabaran rakan senegara, Ng Tze Yong, dalam pertarungan 40 minit.
Pemain kelahiran Kedah itu mempamer aksi memberangsangkan apabila menang set pertama dengan keputusan 21-14 sebelum meneruskan momentum tersebut di set kedua 21-15 ke atas lawannya yang menghuni ranking ke-19 dunia itu.
Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan Zii Jia melebarkan rekod kemenangannya kepada dua kali ke atas Tze Yong sepanjang dua pertemuan selepas Terbuka Australia, pada Ogos lepas.
Kali terakhir Zii Jia meraih gelaran juara adalah ketika mengungguli Terbuka Thailand pada Mei tahun lepas.
Sementara itu,harapan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk meraih kemenangan terbesar dalam kerjaya mereka tidak kesampaian apabila tewas kepada beregu ranking ketujuh dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Pada perlawanan akhir,Wei Chong-Kai Wun, beregu nombor 23 dunia, terpaksa akur dengan kekalahan straight set 18-21, 17-21 dalam pertarungan selama 39 minit itu.
Ini merupakan kali kedua beregu negara itu muncul naib juara dalam kejohanan Super 500 selepas Malaysia Masters, Mei lalu.
Pencapaian terbaik beregu negara itu apabila menjadi juara dalam dua kejohanan Super 300 iaitu Kejohanan Antarabangsa Syed Modi, India dan Terbuka Taiwan, tahun lalu.
Sumber: BERNAMA