Novak Djokovic meraih gelaran ke-102 dalam kariernya selepas Alex de Minaur terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika aksi final Terbuka China di Beijing, hari ini.
Pemain Serbia berusia 39 tahun itu ketika itu mendahului De Minaur 7-6 (7-3), 0-1 sebelum pemain Australia berkenaan terpaksa menamatkan perlawanan susulan masalah pada bahagian paha kiri.
Kedua-dua pemain mengambil masa perubatan selepas set pertama yang berlangsung selama 68 minit, namun De Minaur hanya mampu meneruskan permainan untuk satu game sebelum berjabat tangan dan menarik diri.
Kejayaan itu menyaksikan Djokovic meneruskan rekod memenangi sekurang-kurangnya satu gelaran perseorangan dalam tempoh 21 tahun berturut-turut.
Hanya Jimmy Connors dengan 109 gelaran dan Roger Federer dengan 103 gelaran mempunyai jumlah kejuaraan perseorangan lebih banyak berbanding Djokovic.
Lebih menarik, Djokovic kini mencatat 34 kemenangan berturut-turut di Terbuka China selepas muncul juara kejohanan itu sebanyak tujuh kali.
“Saya sentiasa mempunyai harapan yang tinggi dan mahu membayangkan diri saya memegang trofi, tetapi khususnya di Beijing, tempat saya tidak pernah kalah.
“Trofi ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar satu trofi atau satu kejohanan,” katanya.
Kejayaan itu turut menamatkan penantian Djokovic untuk meraih gelaran pertama dalam tempoh lebih setahun selepas dia mengehadkan jadual pertandingannya bagi menjaga tahap kecergasan fizikal.
Bangkit selepas tahun penuh cabaran
Juara Grand Slam 24 kali itu hanya beraksi dalam final kedua tahun ini selepas tewas kepada Carlos Alcaraz pada final Terbuka Australia, Januari lalu.
Dalam perjalanan ke final Beijing, Djokovic menewaskan pemain nombor dua dunia, Alexander Zverev sebelum mara ke perlawanan akhir.
Dia juga mendahului Daniil Medvedev satu set dan satu break pada separuh akhir sebelum pemain Russia itu disingkirkan.
Djokovic berkata, tahun ini cukup mencabar buat dirinya berikutan pelbagai masalah fizikal dan kesihatan, namun kejayaan di Beijing membuktikan dia masih mampu bersaing pada tahap tertinggi.
“Tahun ini agak mencabar buat saya, dengan banyak turun naik serta masalah fizikal dan kesihatan. Jadi, saya hanya cuba mencari perasaan yang baik di atas gelanggang.
“Saya tahu apabila berada dalam keadaan baik dan memukul bola dengan baik, saya masih mampu bersaing pada tahap tertinggi.
“Minggu ini menjadi bukti kepada perkara itu. Saya sangat bangga,” katanya.
Alcaraz pertahan gelaran Terbuka Jepun
Sementara itu, Alcaraz muncul juara Terbuka Jepun selepas menewaskan pemain Czech, Jiri Lehecka 7-6 (7-4), 6-4 pada aksi final di Tokyo.
Kejayaan itu hadir dalam kejohanan ketiganya selepas mengalami kecederaan pergelangan tangan pada April lalu.
Alcaraz bangkit daripada ketinggalan awal sebelum berjaya mempertahankan gelaran yang dimenanginya tahun lalu.
Pemain Sepanyol itu hanya kembali beraksi dalam kejohanan kompetitif pada Terbuka Amerika Syarikat (AS) Ogos lalu dan mara ke suku akhir sebelum tewas kepada Ben Shelton dalam pertarungan lima set.
Gelaran berkenaan merupakan kejuaraan ketiganya musim ini selepas memenangi Terbuka Australia pada Januari dan Terbuka Qatar pada Februari.
“Ia lebih istimewa selepas kecederaan yang saya alami.
“Ia minggu yang sukar kerana saya tidak menemui permainan atau tahap terbaik, tetapi saya berjaya mencari penyelesaian yang baik. Saya rasa itulah perkara paling penting akhirnya,” katanya.

