Keterangan kakak tiri Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Malianah Mahathir di Mahkamah Khas Koroner, Papar, hari ini adalah berdasarkan pengalaman peribadinya ketika masih kanak-kanak dan tidak melibatkan sebarang interaksi secara langsung dengan Allahyarhamah.
Perkara itu dinyatakan pasukan guaman ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat menerusi kenyataan media yang merumuskan prosiding inkues kematian pelajar berkenaan pada hari ke-90, hari ini.
Malianah, 25, yang merupakan deponen ke-81, ialah anak sulung Mahathir Mohd Hashim daripada perkahwinan terdahulu dan pernah tinggal bersama bapanya serta Noraidah ketika bersekolah rendah.
Menurut kenyataan itu, Malianah menganggarkan dia tinggal bersama bapanya dan Noraidah di Kampung Naluyan, Sipitang selama beberapa bulan sekitar 2011 hingga 2012.
Bagaimanapun, Zara dilahirkan selepas Malianah tidak lagi tinggal bersama pasangan berkenaan, menyebabkan beliau mengesahkan tidak pernah tinggal bersama atau bertemu Zara secara bersemuka.
Dalam keterangannya, Malianah menceritakan beberapa pengalaman ketika tinggal bersama bapanya dan Noraidah, termasuk dakwaan layanan yang berubah ketika bapanya keluar bekerja dan berada di luar rumah selama beberapa hari.
Antara perkara yang masih diingatinya ialah dia tidak dijemput selepas tamat persekolahan sebelum dihantar pulang oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya.
Malianah turut mendakwa perlu mengurus beberapa keperluan sendiri ketika bapanya tiada di rumah, termasuk makanan, pakaian dan persediaan ke sekolah.
Bagaimanapun, ketika disoal balas, Malianah mengakui dia dan adik-beradiknya sememangnya telah diajar untuk mengurus beberapa keperluan sendiri sebelum tinggal bersama Noraidah, termasuk membasuh pakaian serta menyediakan makanan ringkas.
Saksi turut mendakwa pernah menerima kata-kata yang menyakitkan hati berkaitan dirinya dan ibu kandungnya, yang menurutnya masih diingati sehingga kini.
Pada masa sama, Malianah mengakui terdapat pengalaman positif bersama Noraidah, termasuk bantuan dalam urusan persekolahan, makan dan minum serta keluar membeli keperluan sekolah.
Pertikai mesej akaun media sosial
Mahkamah turut dirujuk kepada beberapa tangkap layar perbualan Facebook daripada akaun yang menggunakan nama Zara Qairina.
Malianah berkata akaun media sosial anak-anak Mahathir, termasuk akaun atas nama Zara, pernah dibuat oleh bapanya ketika mereka masih kecil.
Bagaimanapun, beliau menyatakan tidak percaya beberapa mesej yang dipertikaikan itu ditulis oleh Zara kerana Allahyarhamah masih terlalu kecil ketika itu.
Malianah mendakwa mesej berkenaan ditulis oleh Noraidah berdasarkan kandungan perbualan, penggunaan perkataan tertentu, maklumat berkaitan keluarga serta gaya bahasa yang didakwa dikenalinya.
Namun, ketika soal jawab, Malianah mengakui tidak melihat sendiri siapa yang menaip mesej berkenaan.
Beliau turut mengesahkan akaun atas nama Zara itu, berdasarkan pengetahuannya, pernah digunakan oleh bapanya dan Noraidah.
Pada penghujung keterangannya, Malianah menjadi sebak ketika menceritakan beberapa pengalaman zaman kanak-kanaknya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa dirinya tidak berada dalam kedudukan untuk menyalahkan Noraidah berhubung kematian Zara dan menyerahkan persoalan mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada Allahyarhamah untuk ditentukan mahkamah.
Dalam penjelasan lanjut, pasukan guaman Noraidah menegaskan Malianah tidak mempunyai pengalaman atau pemerhatian secara langsung mengenai cara Zara dibesarkan mahupun hubungan Allahyarhamah dengan ibunya dalam kehidupan seharian.
Menurut kenyataan itu, maklumat Malianah mengenai Zara dan perkara yang menjadi subjek inkues diperoleh antaranya melalui media sosial, komunikasi dengan bapanya serta maklumat yang diterimanya selepas kes berkenaan mendapat perhatian.
Prosiding inkues akan bersambung esok dengan keterangan deponen seterusnya, iaitu Noraidah, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina.
Tempoh sehingga 23 Oktober ini diperuntukkan bagi menyelesaikan keterangan saksi-saksi terakhir dalam prosiding inkues termasuk Pegawai Penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung.
Pasukan guaman Noraidah turut mengingatkan bahawa kenyataan media berkenaan hanyalah ringkasan prosiding harian dan tidak menggantikan rekod rasmi mahkamah.
Orang awam dan media juga diminta mengelakkan spekulasi serta berhati-hati dalam membuat sebarang ulasan mengenai perkara yang masih dalam pertimbangan Mahkamah Koroner atau yang boleh dianggap subjudis.

