Pendapatan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) meningkat kepada RM4.64 bilion bagi tahun kewangan 2025, sekali gus menjadi paras tertinggi yang pernah direkodkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kedudukan kewangan TH turut kekal kukuh dengan jumlah aset sebanyak RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion.
“Alhamdulillah, meneruskan tugasan di Parlimen dengan menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Besut. Soalan berkenaan dengan pelaburan Tabung Haji.
“Saya cuba memberikan penjelasan sebaiknya. Syukur, usaha yang dilaksanakan oleh Tabung Haji telah menyumbang kepada pengukuhan kedudukan kewangan TH,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa solat Jumaat akan julung kalinya diadakan di Bangunan Parlimen.
Jelasnya, perkara itu susulan sesi pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan pada Jumaat ini.
“Solat Jumaat di Parlimen ini akan memudahkan dan melancarkan urusan ramai pihak,” katanya lagi.

