Semua sekolah, tadika dan taska di seluruh daerah Batu Pahat diarahkan tutup esok susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 203 malam ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat dalam satu kenyataan memaklumkan bacaan itu direkodkan pada jam 8 malam dan berada pada tahap sangat tidak sihat.
Menurut kenyataan itu, keputusan penutupan berkenaan diambil bagi memastikan keselamatan dan kesihatan penduduk, khususnya murid serta warga sekolah, sentiasa terpelihara.
“Memandang bacaan IPU telah melebihi 200, sekolah-sekolah, tadika dan taska yang terlibat hendaklah ditutup bermula mengikut ketetapan,” menurut kenyataan itu.
JPBD Batu Pahat turut memaklumkan pihak sekolah hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya diarahkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Johor atau Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat.
Katanya, pihak sekolah juga perlu memaklumkan kaedah pelaksanaan PdPR, tugasan murid serta saluran komunikasi kepada ibu bapa atau penjaga menerusi saluran rasmi sekolah.
Dalam pada itu, JPBD Batu Pahat bersama agensi berkaitan akan meneruskan pemantauan bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Sebarang keputusan berkaitan pembukaan semula sekolah akan dibuat berdasarkan perkembangan kualiti udara serta arahan rasmi pihak berkuasa.
Orang awam turut diminta mendapatkan maklumat sahih menerusi saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar, KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat dan Pejabat Daerah Batu Pahat.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan.

