NASA Lancar Misi Ke Asteroid Paling Berharga, Dijangka Tiba 2029
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dilaporkan sedang menuju ke sebuah asteroid yang jauh di alam semesta yang mempunyai harga yang amat tinggi.
Batu angkasa yang dipanggil sebagai 16 Psyche itu dikatakan dipenuhi dengan logam-logam berharga yang nilainya dipercayai boleh mencecah sehingga $10,000,000,000,000,000,000 (RM47,134,036,779,999,990,000/RM47 quintillion) di Bumi.
Difahamkan misi ‘luar biasa’ itu sudah pun bermula apabila kapal angkasa SpaceX Falcon Heavy telah berlepas pada hari Jumaat, 13 Oktober baru-baru ini.
SpaceX Falcon Heavy yang dilancarkan akan berlepas jauh ke sistem suria dan menuju ke asteroid berkenaan yang lokasinya terletak di antara planet Musytari dan Marikh.
NASA telah mengumumkan perancangan itu ketika musim panas untuk melancarkan misi 16 Psyche dan kini organisasi berkenaan akan “bekerja sepanjang masa” bagi memastikan misi tersebut berjaya.
Sebelum ini pada Julai lalu, NASA memaklumkan dalam siaran akhbar, “Dengan kurang 100 hari sebelum pelancarannya, pasukan jurutera dan juruteknik bekerja sepanjang masa untuk memastikan pengorbit itu bersedia untuk menempuh perjalanan sejauh 2.5 bilion batu ke asteroid yang kaya dengan logam.
“Ia mungkin dapat memberitahu kami lebih banyak mengenai teras planet dan bagaimana planet terbentuk,” maklum NASA.
Menyentuh mengenai nilainya yang terlalu tinggi, ia mungkin boleh membuatkan semua manusia di Bumi masing-masing menjadi jutawan.
Bagaimanapun difahamkan tujuan NASA bukanlah mahu ‘menukarkannya’ menjadi wang, namun ingin mengambilnya sebagai medium kajian mengenai bagaimana proses planet-planet tercipta.
Pelancaran Roket

Roket yang dilancarkan dari Kennedy Space Center Launch Complex 39A, Florida, Amerika Syarikat itu akan menempuh perjalanan sejauh 2.2 bilion batu (3.5 bilion kilometer-km), melalui atmosfera ke asteroid terbabit.
Difahamkan pada asalnya, kapal angkasa itu akan dilancarkan tahun lepas, tetapi misi itu ditangguhkan kerana masalah perisian.
Justeru disebabkan jarak yang sangat jauh perlu ditempuh, kapal angkasa itu dijangka akan tiba di destinasinya pada Julai 2029.
Dalam masa sama, ia juga turut akan mendapat sedikit ‘rangsangan’ kelajuan dari Marikh apabila setelah melepasi planet berkenaan pada Mei 2026.
Asteroid 16 Psyche
Sementara itu, difahamkan terdapat sembilan jenis asteroid bersifat kaya logam yang diketahui wujud di angkasa lepas, namun 16 Psyche adalah yang terbesar.
Nicola Fox, Pentadbir Bersekutu Untuk Direktorat Misi Sains NASA memberitahu Space.com, “Setakat ini Psyche 16 merupakan asteroid terbesar, dan itulah sebabnya kami ingin pergi ke sana.
“Ini kerana yang asteroid lebih kecil kemungkinan besar akan diubah oleh perkara yang mempengaruhi mereka, manakala kami berfikir yang besar akan tidak berubah,” katanya.
Ukuran ukur lilit asteroid itu sekitar 280 km dan panjangnya 232km. Ia memiliki luas permukaan 165,800 km persegi, kira-kira dua pertiga dari keluasan United Kingdom (UK).
Sumber: UNILAD, Daily Star
BACA JUGA: Manga Di Botol Susu, Taktik Nak Pastikan Pelajar Habiskan Susu