SPA Perak Maklum Akaun Rasmi Facebook Digodam Pihak Tak Bertanggungjawab
Laman Facebook rasmi bagi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri Perak mengalami gangguan dan dipercayai digodam pihak tidak bertanggungjawab.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh SPA Perak melalui satu kenyataan di laman sesawangnya semalam.
”Dimaklumkan bahawa Laman Facebook Rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Perak telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata SPA Perak pada 16 Oktober.
Justeru, memahami keresahan dalam kalangan pelayar Facebook, SPA Perak memaklumkan tindakan sedang diambil pihaknya.
“Pejabat ini memahami keresahan yang dirasai oleh ramai pihak berkenaan gangguan yang dialami oleh Laman FB rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Perak.
“Dimaklumkan bahawa Pejabat ini telah mengambil tindakan sewajarnya sejak awal perkara tersebut berlaku dan kini berada di bawah tindakan pihak berwajib.”
Orang ramai diseru menggunakan laman web rasmi untuk mendapatkan maklumat terkini
Selain itu, SPA Negeri Perak turut memaklumkan bahawa pihaknya tidak lagi menggunakan laman Facebook berkenaan sebagai medium utama.
Orang ramai telah disarankan untuk untuk mendapatkan maklumat terkini menerusi laman web secara langsung.
“Oleh itu, Pejabat ini menegaskan laman tersebut bukan lagi merupakan medium rasmi Pejabat ini dan semua pihak disarankan mendapatkan maklumat terkini yang berkaitan dari Laman Web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Perak.”
Pada masa yang sama, SPA Negeri Perak turut berterima kasih dan menghargai semua pihak yang mengambil berat atas apa yang berlaku pada halamn Facebook tersebut.
Pejabat ini turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak termasuk orang awam yang telah sama-sama menunjukkan keprihatinan di atas apa yang berlaku.
Terdahulu, semakan mendapati beberapa hantaran tidak sepatutnya terpapar pada timeline akaun rasmi Facebook berkenaan.
Difahamkan, hantaran tidak sepatutnya itu mula kelihatan pada timeline Facebook berkenaan sejak semalam.
Berdasarkan penelitian, hantaran terakhir daripada akaun tersebut adalah berkaitan semakan keputusan ujian kecergasan dimuat naik pada 27 September lalu.
BACA: Kenali Konvensyen Geneva, Undang-undang Setiap Pihak Berperang Kena Patuh