Air Ketuban Pecah Ketika Tengah Makan, Wanita Sempat Pesan, “Nanti Datang Sambung Balik”
Seorang wanita melalui detik cemas apabila air ketuban pecah ketika sedang enak menikmati hidangan mookata di sebuah restoran, di Bangkok, Thailand.
Walaupun sedang berdepan situasi getir untuk bersalin, wanita berkenaan sempat meninggalkan satu pesanan luar biasa kepada pengurus restoran berkenaan.
Menurut laporan The Straits Times, wanita berkenaan difahamkan meminta agar hidangan di atas meja yang sedang dinikmatinya tidak dikemas.
Dia sebaliknya memberitahu dia mungkin akan kembali semula ke gerai tersebut untuk menghabiskan makanan-makanan yang dipesannya.
Kisah berkenaan dikongsikan sendiri oleh pengurus gerai tersebut, Yuthaphum Kaewkhem di laman facebook sebelum dilaporkan oleh wartawan tempatan.
Air ketuban pecah tengah makan, wanita pesan datang balik sambung nanti
Sebaik sahaja dimuat naik ke Facebook, kisah berkenaan pantas menjadi viral dan menarik perhatian warga maya disana.
Menurut Yuthaphum, ketika itu, pekerja di gerai tersebut sedang menghubungi ambulans bagi membawa wanita berkenaan ke hospital.
Namun begitu, mereka terkejut apabila wanita itu meminta agar makanannya tidak diusik kerana dia baru sahaja menyuap beberapa mulut sebelum rasa hendak bersalin.
Kata wanita itu lagi, sekiranya dia tidak jadi bersalin pada hari tersebut, dia akan hadir semula ke restoran berkenaan untuk menghabiskan mookata berkenaan.
Untuk pengetahuan pembaca, mookata adalah sejenis hidangan barbeque-steamboat ala-Thai.
Terkejut dengan tindakan pelanggannya, Yuthaphum telah menolak cadangan wanita tersebut
Yuthaphum ketika itu bagaimanapun meminta wanita berkenaan tidak memikirkan mengenai hidangan berkenaan dan memintanya memberi fokus kepada proses bersalin itu.
Katanya, dia berjanji untuk memberikan hidangan percuma mookata kepada wanita berkenaan selama sembilan bulan, asalkan wanita itu dapat melahirkan bayinya dengan selamat.
Beberapa hari selepas insiden itu, Yuthaphum telah melawat wanita tersebut berserta bayi lelakinya yang baru dilahirkan.
Menerusi Facebooknya, dia berkongsi beberapa foto pertemuan dengan wanita berkenaan di hospital. Malah, Yuthaphum juga berkongsi fotonya sedang menyediakan juadah mookata untuk diberikan kepada wanita tersebut.
Menurut The Straits Times, wanita berkenaan merupakan pelanggan tetap di restoran berkenaan. Ketika hari kejadian, wanita itu singgah di kedai tersebut kerana mengidam untuk menikmati mookata.
Dia bagaimanapun tidak menyangka bersalin lebih awal kerana dijangkakan hanya akan melahirkan kandungan tersebut pada 27 Oktober nanti.
BACA: Letak Bahan Ni Je, Cara Simpan Taugeh Agar Tak ‘Lebam’, Boleh Tahan Seminggu
Sumber: The Straits Times