Siakap Keli
Bayi hospital gaza
Gambar: AFP

120 Bayi Inkubator Di Hospital Gaza Dalam Keadaan Berisiko – PBB

120 Bayi Inkubator Di Hospital Gaza Dalam Keadaan Berisiko – PBB

Sekurang-kurangnya 120 bayi baru lahir yang berada di dalam inkubator di hospital Gaza kini dalam keadaan berisiko selepas kehabisan sumber bahan api di kawasan yang dikepung, maklum agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Memetik AFP, hospital itu berdepan dengan kekurangan bekalan ubat-ubatan, bahan api dan air selepas dikenakan sekatan oleh Israel.

Perkara itu juga memberi kesan terhadap ribuan mangsa yang cedera sejak dua minggu lalu.

Kementerian Kesihatan Palestin memberitahu lebih 1,750 kanak-kanak dilaporkan telah terbunuh dalam konflik yang berlaku di Gaza sejak 7 Oktober itu.

“Sehingga kini, terdapat 120 bayi yang baru lahir dalam tiub inkubator termasuk 70 daripada bayi tersebut bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

“Kami bimbang dengan nyawa bayi-bayi itu,” kata Jurucakap UNICEF, Jonathan Crickx yang bersimpati dengan keadaan tersebut.

Bekalan tenaga elektrik salah satu sumber utama bagi tujuh wad pakar di seluruh Gaza yang merawat bayi pramatang dengan bantuan pernafasan dan bantuan kecemasan.

BACA JUGA: Israel Beri Amaran Kepada 24 Hospital Di Gaza Supaya Berpindah – Kementerian Kesihatan Palestin

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis lalu memberi amaran bahawa generator di hospital sudah kehabisan minyak.

Menurut WHO, kira-kira 1,000 orang yang memerlukan dialisis turut bakal berisiko sekiranya sumber generator tidak berfungsi.

Meskipun sebanyak 20 trak bantuan dari Mesir tiba di Gaza semalam, namun tiada bahan api dibekalkan.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Gaza semalam memberitahu, seramai 130 bayi pramatang berdepan risiko kematian akibat kekurangan bahan api.

Manakala menurut Dana Penduduk PBB, sekitar 160 wanita dilaporkan bersalin setiap hari di Gaza dengan anggaran terdapat 50,000 wanita yang berbadan dua di wilayah berkapasiti 2.4 juta penduduk itu.

BACA JUGA: Sheikhul Islam Thailand Meninggal Dunia Pada Usia 76 Tahun

Sumber: AFP 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?